Undang - Undang

Sam Ke Ting Dibebaskan Dengan Ikat Jamin RM10,000

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Sam Ke Ting dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sam sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak pada 2017.

Permohonan ikat jamin Sam dibenarkan oleh Hakim Datuk P Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan pihak pembelaan untuk memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari.

Pada 14 April lalu, peguam yang mewakili Sam, Muhammad Faizal Mokhtar telah memfailkan notis usul bagi kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar, yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu, yang melepaskan dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Sam didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017. Kejadian itu mengorbankan lapan remaja iaitu Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Sumber: Astro Awani

Previous post

Honda RS-X Edisi Repsol - 5,000 Unit Sahaja, RM9,948

Next post

Beli BMW i4 Fastback Elektrik Atau BMW iX SAV?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *