Berita Auto

Proton Kembali Ke Pasaran Afrika Selatan Selepas 10 Tahun

Proton telah mengumumkan pelantikan Kumpulan CMH sebagai pengedar kenderaan jenama itu di Afrika Selatan. Menurut pengeluar kereta nasional itu, penghantaran pertama model CBU akan bermula pada September, diketuai oleh Proton X50 dan X70, diikuti dengan Saga yang akan kembali ke negara itu selepas 10 tahun.

Dengan kerjasama ini, Proton meramalkan jualan yang kukuh bagi tahun ini dan bagi tahun 2023 pula, syarikat itu menyasarkan jumlah jualannya meningkat lebih dua kali ganda. Untuk suku pertama tahun ini,
jumlah jualan eksport telah meningkat sebanyak 175% berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Jualan dijangka bertambah kerana syarikat itu menyasarkan untuk meningkatkan eksport lebih daripada 300% pada akhir tahun ini.

Pada tahun 2010, Proton mengeksport 29,833 unit ke beberapa pasaran luar negara. Angka ini berkurang kepada hanya 248 unit pada 2017 walaupun volum mengalami peningkatan secara beransuran.

Pada tahun lepas, 3,018 kenderaan Proton dijual di luar negara, iaitu lebih dua kali ganda daripada 1,508 unit yang dieksport pada tahun 2020. Untuk tahun 2022, Jabatan Jualan Antarabangsa menetapkan sasaran untuk meningkatkan jualan eksport kepada 10,000 unit.

Pertumbuhan sedemikian diperkukuhkan bukan sahaja dengan memasuki pasaran baharu tetapi juga meningkatkan operasi pemasangan (KD) di luar negara. Kini, Proton mempunyai operasi sedemikian di Pakistan, Kenya dan Bangladesh, manakala Sri Lanka akan bermula pada separuh kedua tahun 2022. Syarikat itu kini mengeksport kereta ke 13 pasaran luar negara sebelum kemasukan Afrika Selatan.

Dari segi keseluruhan eksport kenderaan di Malaysia, prestasi Proton semakin menonjol. Bermula dengan 12.8% daripada jumlah keseluruhan eksport pada tahun 2019, meningkat kepada 30.2% pada tahun 2020 dan mencecah 60.9% pada tahun 2021.

Ini menjadikan Proton sebagai pengeksport kenderaan utama negara dan menunjukkan eksportnya terus berkembang walaupun keadaan pasaran yang sukar disebabkan oleh Covid-19.

Proton X50 Pandu Uji

“Matlamat jangka panjang Proton memerlukan eksport memainkan peranan utama untuk mengembangkan jualan keseluruhan Syarikat kerana TIV di Malaysia dijangka tidak banyak berubah,” kata kata Steven Xu, Pengarah Jabatan Jualan Antarabangsa, Proton

“Justeru itu, kami mengeksploitasi kekuatan produk baharu kami, jenama kami dan juga hubungan Malaysia dengan negara lain untuk bertapak di pasaran baharu. Ini kemudiannya diperkukuhkan dengan mewujudkan operasi KD di mana-mana yang berpotensi, yang juga dapat membantu mengembangkan ekonomi tempatan,” tambah beliau.

Previous post

Kenaikan 66% Jualan Untuk Mitsubishi Motors Malaysia Pada Akhir Tahun Kewangan 2021

Next post

Porsche 911 Sport Classic Debut, Hanya 1250 Akan Dibina

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *