Berita Auto

PLUS Keluarkan Cadangan Waktu Perjalanan Hari Raya

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menggesa pengguna jalan raya untuk mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar sempena musim perayaan Aidilfitri dari 29 April hingga 9 Mei 2022 ini.

Menurut PLUS, TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

Ia direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang, di mana lebih daripada 2 juta kenderaan dijangka melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

“Memandangkan ini adalah kali pertama selepas 2 tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri, kami menjangka kira-kira 2 juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya kami,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik.

Pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10:00 pagi. Mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri-negeri lain pula dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas jam 1:00 petang.

“TTA ini direka untuk mengelak trafik yang menuju ke destinasi yang lebih jauh daripada ‘bertembung’ dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat. Dengan mematuhi TTA ini, ia boleh memberikan perbezaan yang lebih baik kepada pengalaman dan tempoh perjalanan anda, Insyallah,” tambah Datuk Zakaria.

Bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pelanggan lebuh raya pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9:00 pagi.

Datuk Zakaria berkata kajian menunjukkan tempoh perjalanan kembali semula ke Lembah Klang akan menjadi lebih panjang di lebuh raya sekiranya pengguna memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini.

“Berdasarkan simulasi pola perjalanan trafik pada musim perayaan, pengguna lebuh raya dari Utara ke Lembah Klang dijangka akan mengalami tempoh perjalanan sehingga 10 jam atau dua kali lebih panjang daripada purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya selepas jam 9:00 pagi.

Sementara itu, tempoh perjalanan dari Selatan ke Lembah Klang pula bakal mencecah sehingga 7 jam atau dua kali lebih panjang berbanding purata tempoh perjalanan sekiranya memasuki lebuh raya pada masa yang sama iaitu selepas jam 9:00 pagi.

Dalam pada itu, pelanggan lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

PLUS juga menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas, memandu dengan berhemah, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik supaya selamat sampai ke destinasi.

Previous post

Program Perantisan Bermaz Melahirkan 185 Graduan Baharu

Next post

Konsep Lincoln Star Membayangkan Kemewahan Amerika Masa Depan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *