Berita Auto

DS3 Crossback Dikesan Sedang Diuji Di Sekitar Glenmarie

Nampaknya DS3 Crossback (mungkin varian elektrik iaitu E-Tense) telah dikesan menjalani ujian jalan raya di sekitar kawasan ibu pejabat Bermaz Auto Alliance di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini. Malah, dalam satu gambar, crossover itu dilihat sedang diikuti oleh sebuah Citroen C4 ke dalam perkarangan tempat letak kereta syarikat itu.

Jika anda masih ingat, hak pengedaran kenderaan baharu Peugeot dan hak pengendalian selepas jualan dan pengedaran alat ganti bagi kenderaan Peugeot, Citroen dan DS telah dianugerahkan kepada Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) pada Disember 2020.

DS3 Crossback spyshot

Mungkinkah kehadiran DS3 Crossback dan C4 ini memberi petanda bahawa kedua-duanya akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi? Setakat ini, masih belum ada sebarang pengesahan namun sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai perkembangan positif bagi jenama-jenama Perancis itu yang kurang aktif di bawah pengurusan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, perlu diingat yang BAASB hanya bertanggungjawab ke atas aspek selepas jualan dan pengedaran alat ganti bagi jenama Citroen dan DS dan bukannya pengedaran kenderaan baharu kedua-dua jenama itu seperti dengan Peugeot.

DS3 Crossback spyshot

Diperkenalkan pada 2018, DS3 Crossback dibina di atas platform Common Modular Platform (CMP) milik Groupe PSA yang menyokong trenkuasa pembakaran dalaman dan elektrik. Bagi trenkuasa pembakaran dalaman, barisannya terdiri daripada enjin petrol 1.2-liter PureTech dan diesel 1.5-liter BlueHDi, kedua-duanya tersedia dalam beberapa versi output.

Versi elektrik yang dikenali sebagai E-Tense pula dikuasakan oleh sebuah motor elektrik yang menjana kuasa berjumlah 100 kW (136 hp) dan 260 Nm. Kuasa dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 50 kWh yang diletakkan di bawah lantai yang memberikan E-Tense jarak pemanduan melebihi 300 km mengikut kitaran WLTP atau 450 km mengikut kitaran NEDC. Pengecasan dari 0 hingga 80% mengambil masa kira-kira 30 minit menerusi pengecas pantas DC 100 kW.

Citroen C4

Sementara itu, C4 pula secara asasnya adalah kenderaan yang sama dengan DS3 Crossback (dan juga Peugeot 208/2008) cuma ia mempunyai penggayaan yang lebih tajam dan garisan bumbung ala coupe. Varian elektrik dikenali sebagai ë-C4 dan ia mempunyai kuasa dan kapasiti bateri yang sama dengan DS3 E-Tense.

Previous post

SUV Mercedes-EQS Dipersembahkan: SUV Elektrik Mewah Baharu

Next post

Porsche Menunjukkan 'Konsep' Pembaikan Bateri Voltan Tinggi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *