Hibrid, Elektrik, Hidrogen

BMW i4 eDrive40 M Sport Dibuka Untuk Pra-Tempahan – RM389,800

BMW Malaysia telah mengumumkan pembukaan pra-tempahan bagi BMW i4 eDrive40 M Sport untuk pasaran tempahan. Coupe elektrik ini diperkenalkan di acara NeXTGen Malaysia pada Januari lalu.

Dengan pacuan roda belakang yang klasik, i4 eDrive40 M Sport menggandingkan reka bentuk progresif dengan aerodinamik, prestasi dinamik dan ciri keselesaan.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik yang mampu menjana output maksimum berjumlah 340 hp (250 kW) dan 430 Nm, membolehkannya ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.7 saat dan bergerak sejauh 590 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.

Menurut BMW, keupayaan mengecasnya disempurnakan dengan sistem BMW eDrive generasi kelima yang serasi dengan teknologi pengecasan terkini. Unit Pengecasan Gabungan (CCU) bersertakan transformer terintegrasi 4 kW membolehkan ia disambungkan kepada soket kuasa domestik, BMW i Wallbox atau pengecas pantas DC.

Unit pengecas AC 11 kW mampu mengecas penuh kenderaan ini dalam tempoh 8 jam 15 minit, manakala unit pengecas pantas DC berkapasiti 200 kW pula boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 31 minit.

Seperti yang tertera pada namanya, i4 eDrive40 M Sport didatangkan dengan pakej M Sport yang merangkumi kit M Aerodynamics, rim M Aerodynamic 860 M Bicolour berukuran 19 inci, brek M Sport dan M Shadow Line berglos tinggi. Turut disertakan adalah lampu BMW Laserlights dengan ciri Kawalan Lampu Puncak Automatik.

Ruang kabinnya pula menampilkan trim Aluminium Rhombicle Anthracite, material bumbung M Anthracite, stereng M dengan balutan kulit dan panel instrumen dalam Sensatec. Stereng sport tersebut boleh dilaras, manakala tempat duduk dilengkapi dengan pelaras elektrik dan fungsi memori.

Ciri-ciri lain yang turut disediakan termasuk pakej cermin interior dan eksterior, penyaman udara automatik, pintu but automatik, sistem Comfort Access, Sistem Through-Load dan pakej kompartment muatan.

Sistem infohibur merangkumi BMW Live Cockpit Professional, BMW ConnectedDrive Services, BMW Connected Package Professional I, Panggilan Kecemasan Pintar, Telekhidmat, Integrasi Telefon Pintar, sistem audio keliling Harmon Kardon dengan 17 pembesar suara, serta ruang pengecasan tanpa wayar.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada Perlindungan Akustik untuk Pejalan Kaki, Perlindungan Aktif untuk Pejalan Kaki, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Plus dan Perlindungan Aktif.

i4 eDrive40 M Sport boleh didapati dalam warna Black Sapphire, Mineral White dan Dravit Grey, di samping warna tambahan Sanremo Green, M Portimao Blue dan M Brooklyn Grey (yang akan menggantikan Dravit Grey pada akhir tahun ini). Upholsteri ruang dalaman pula ditawarkan dalam Black, Mocha dan Tacaro Leather Vernasca.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) dengan Pakej Waranti dan Servis Lanjutan ialah RM389,800.

Previous post

Ketua Polis Negara Mahu Haramkan Penjualan Suzuki Raider R150 Fi

Next post

Lotus Emira First Edition Dilancarkan Di Malaysia - Harga Dari RM1.13 Juta

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *