Berita Auto

AHTV Di Tg Malim Bantu Pacu Industri Automotif Negara

DRB-HICOM Berhad telah melancarkan pelan pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, menandakan permulaan penting bagi projek mega berimpak tinggi yang dijangka merancakkan industri automotif negara.

Menekankan sistem dan teknologi baharu dalam industri automotif global, iaitu elektrifikasi, Kepintaran Buatan (A.I), teknologi autonomi dan ketersambungan termaju, AHTV dijangka menjadi hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

Pembangunan AHTV bertujuan untuk mengadaptasi perubahan landskap industri automotif Malaysia dengan menampilkan ekosistem bersepadu yang akan menjadi pemangkin dalam merangsang semula sektor automotif domestik selari dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020. Ini bagi memastikan bahawa Industri automotif Malaysia terus berkembang dan setanding dengan negara-negara jiran.

Proton

Dengan wujudnya sistem, infrastruktur dan sokongan daripada pemegang taruh yang betul, AHTV akan berada pada landasan yang baik untuk menarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini, seterusnya memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan.

DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak menandatangani MOU untuk mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekitar kawasan ini bagi pembangunan AHTV.

Kawasan di sekeliling kilang PROTON Tanjong Malim kini berkeluasan 4,000 ekar yang kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris, vendor sedia ada, sebagai premis komersial dan sebagai hartanah kediaman. Tanah tambahan ini khas untuk pembangunan AHTV, termasuklah universiti penyelidikan.

DRB-HICOM turut menandatangani satu lagi MOU bersama Geely Holding Group untuk membangunkan AHTV secara bersama dan bekerjasama dalam mengenal pasti vendor dan pelabur ke hab ini.

Penglibatan rakan strategik DRB-HICOM bagi pengeluar kereta nasional PROTON, Geely Holding Group, yang terkenal dengan kekuatan teknologi mereka dalam ekosistem automotif, merupakan pemangkin kepada AHTV. Ia menjadi pendorong kepada pengeluar dan komponen kereta, terutamanya dari China untuk melabur dalam fasiliti pengeluaran tempatan, seturusnya mewujudkan peluang perniagaan dan eksport baharu.

Pada asasnya, AHTV mempunyai potensi sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN & OIC untuk syarikat yang menjadikannya mereka sebagai pangkalan. Terdapat 17 vendor yang beroperasi di kawasan ini.

AHTV juga bakal menubuhkan sebuah universiti penyelidikan untuk mengembangkan bakat dalam bidang automotif. Satu rangka kerja pendidikan bagi industri automotif akan digubal ke arah memupuk jurutera generasi baharu dalam bidang Kejuruteraan, IT, Reka Bentuk, Kepintaran Buatan, Penyelesaian Mobiliti & Pembangunan Perisian.

Ini akan mengukuhkan keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tempatan dan memastikan daya saing pengeluar peralatan asli tempatan (OEM).

Pada peringkat awal pembangunannya, kira-kira 370,000 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan di tapak AHTV bersebelahan dengan fasiliti pembuatan PROTON di Tanjong Malim. Apabila Fasa 1 siap sepenuhnya, hab ini akan menawarkan lebih 160,000 peluang pekerjaan, menyumbang kepada ekonomi Perak dan negara.

Previous post

Honda City Hatchback V-SENSING Dilancarkan - RM91,708

Next post

Honda Civic Type R Akan Datang Lebih Laju Di Litar Suzuka Berbanding Yang Semasa

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *