Undang - Undang

3 Jenis Kenderaan Mikromobiliti Diharamkan Di Jalan Raya

Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti di jalan raya berkuat kuasa serta-merta. Larangan tersebut melibatkan tiga kategori kenderaan mikromobiliti iaitu Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA).

Moped adalah kenderaan yang dipasang dengan dua atau tiga roda dan dipacu oleh sumber elektrik dengan kelajuannya tidak melebihi 50 km/j. PMD dan PMS pula adalah kenderaan yang dipacu oleh kuasa manusia atau elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 25 km/j seperti skuter berkuasa elektrik dan kenderaan bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan.

Menteri Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata larangan itu dilaksanakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 yang berkuat kuasa 17 Disember 2021.

“Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan adalah membahayakan bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut tetapi pengguna lain,” kata Wee.

Tambah beliau lagi, penggunaan kenderaan ini menerusi percampuran dengan aliran trafik bersama kenderaan motor lain di atas jalan akan menimbulkan risiko berlaku tragedi yang samaseperti nahas basikal lajak yang telah meragut nyawa lapan kanak-kanak.

Justeru itu, penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300. Sekiranya melibatkan kemalangan, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 41 hingga 44 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan atau sehingga menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, penggunaan tiga kategori kenderaan mikromobiliti itu dibenarkan di dalam bangunan dan kawasan yang tiada percampuran aliran trafik.

“Saya tiada halangan kalau mereka ingin gunakan kenderaan ini di rumah atau tanah persendirian asalkan ia bukan di jalan raya. Penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan akan dipertimbangkan jika pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kemudahan infrastruktur jalan yang menyokong penggunaan kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu, penggunaan basikal, beca dan basikal elektrik adalah dibenarkan namun perlu mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Bagi penggunaan basikal dengan bantuan elektrik, hanya yang memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514 : Electric Bicycles Specification sahaja dibenarkan digunakan di atas jalan raya,” tambah beliau.

Previous post

MINI JCW Bakal Sertai Perlumbaan 24 Jam Nürburgring

Next post

Mercedes-AMG C 43 4MATIC Semua Baharu Debut Dengan 2.0L Inline 4

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *