Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha 135LC FI Dilancarkan Di Malaysia – RM7,798

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan model Yamaha 135LC FI yang dibangunkan dengan kerjasama Yamaha Motor Corporation sebagai motosikal klac auto paling berkuasa eksklusif untuk pasaran Malaysia.

Yamaha 135LC FI

Menurut Dato’ Dr Jim Khor, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad, model tersebut bukan sahaja dibangunkan untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian, namun sebagai jentera yang berkuasa di jalan raya.

Bagi tujuan itu, 135LC FI tampil dengan enjin 135 cc silinder tunggal empat lejang serba baharu yang dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api. Enjin ini mampu menghasilkan 9.3 kW (12.5 hp) pada 8,000 rpm dan 12.2 Nm pada 6,000 rpm, sedikit lebih tinggi berbanding enjin dengan karburetor pada model sebelum ini. Bukan itu sahaja, ia juga mematuhi piawaian emisi Euro 4.

Selain enjin, kapasiti tangki bahan api diperbesarkan sebanyak 23% kepada 4.6 liter bagi memberikan jarak tunggangan yang lebih jauh. Kerangka turut ditambahbaik bagi menjadikan ia lebih ringan dan kukuh, dengan ciri ergonomik yang sesuai untuk tunggangan harian.

Seperti model sebelum ini, 135LC FI dilengkapi dengan fork teleskopik pada bahagian depan dan lengan ayun pada bahagian belakang. Sistem brek kini dipertingkatkan menerusi penambahan brek cakera belakang sebagai respon kepada maklum balas yang diberikan oleh pemilik.

Dari segi reka bentuk, 135LC FI tampil lebih agresif dengan lampu LED baharu pada bahagian depan dan belakang serta lampu pilot. Cowling direka semula bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik, mengurangkan geseran serta tekanan angin pada bahagian lutut.

Turut disertakan adalah speedometer digital baharu yang dikatakan lebih jelas dalam pelbagai cuaca, serta mekanisma kunci baharu yang membolehkan penunggang membuka tempat duduk dengan lebih mudah.

135LC FI ditawarkan dalam warna standard Ruby Red, Crystal Cyan dan Midnight Star. Selain itu, ia juga boleh didapati dalam versi Edisi Khas dalam warna Desert Storm yang didatangkan standard dengan bakul premium Yamaha. Ia mempunyai bahagian yang boleh dibuka dan ditutup bagi melindungi barang peribadi daripada hujan, serta outlet pengecas USB.

Boleh didapati menerusi wakil pengedar bermula 14 Mac ini, 135LC FI dijual pada harga bermula dari RM7,798 untuk versi standard dan RM8,198 untuk versi Edisi Khas.

Previous post

Bosch Dan Allianz General Bergabung Untuk Program Setia Mereka

Next post

Jualan Feb Toyota Dan Lexus Malaysia Naik Berbanding '21

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *