Berita Auto

Volkswagen Tiguan Allspace Facelift Dilancarkan Di Malaysia

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Volkswagen Tiguan Allspace versi facelift yang menerima naik taraf dari segi reka bentuk dan juga kelengkapan. Ia ditawarkan dalam varian Elegance dan R-Line 4MOTION, kedua-duanya dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang.

Dari segi penampilan, Tiguan Allspace menerima gril yang telah direka semula, bampar hadapan baharu dan lampu utama lebih kemas, jalur lampu LED, perkataan ‘Tiguan’ pada bahagian belakang dan logo baharu Volkswagen.

Tiguan Allspace R-Line 4MOTION

Di dalam, terdapat sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2 inci yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, arahan suara, sistem navigasi binaan dalam dan banyak lagi.

Stereng sports multi fungsi kini boleh dioperasi melalui butang kawalan haptik untuk ketersambungan yang lancar. Butang-butang dan tombol panel pendingin hawa juga telah dinaik taraf.

Aspek keselesaan untuk pemandu dan penumpang hadapan dipertingkatkan menerusi tempat duduk dengan suhu aktif. Tempat duduk ventilasi ini menawarkan ciri penyejukan dan pemanasan untuk disesuaikan dengan cuaca semasa.

Sebagai tambahan, varian R-Line 4MOTION mendapat sistem audio premium Harman Kardon 480-watt dengan 10 unit pembesar suara, empat profil audio dan mod keliling.

Dari segi keselamatan, Tiguan Allspace kini didatangkan standard dengan Driver Alert dan sistem Lane Assist yang berfungsi untuk mengembalikan kenderaan ke laluan asal sekiranya ia mengesan kenderaan bergerak ke laluan lain tanpa menggunakan lampu isyarat.

Tiguan Allspace Elegance

Turut disertakan ialah enam beg udara (tujuh untuk varian R-Line 4MOTION), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brek Bantuan (BA), brek multi pelanggaran, Sistem Maklum Balas Pelanggaran Pintar (ICRS) dan Brek Parkir Elektronik (EPB). R-Line 4MOTION turut mendapat sistem Kawalan Menuruni Bukit.

Untuk enjin pula, Tiguan Allspace Elegance dikuasakan oleh enjin 1.4-liter TSI yang menghasilkan 150 PS dan 250 Nm. Dengan transmisi DSG enam kelajuan, ia dikatakan mampu mencapai tahap penggunaan bahan api serendah 7.7 l/100 km.

Sementara itu, Tiguan Allspace R-Line 4MOTION pula mendapat enjin 2.0-liter dengan 220 PS dan 350 Nm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi DSG tujuh kelajuan menerusi sistem pacuan semua roda 4MOTION.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan Dynamic Chassis Control (DCC), dan empat tambahan (On-Road, Off-Road, Off-Road Expert dan Snow) sebagai sebahagian daripada sistem 4MOTION. Stereng progresif pula menawarkan pemanduan dinamik dengan belokan yang lebih tepat dan tajam.

Harga jualan Tiguan Allspace facelift bermula dari RM174,475 untuk varian Elegance dan RM219,443 untuk varian R-Line 4MOTION.

Previous post

BMW X1 2023 Mungkin Mengejutkan Anda Untuk Membelinya

Next post

Mercedes-Benz Membuka Kilang Bateri EV Baharu Di Alabama

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *