Berita Auto

Tempoh Percubaan RFID Penting Bagi Pastikan Keberkesanannya

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah berkata pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di plaza tol sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) adalah bagi memastikan keberkesanan sistem itu sebelum penggunaannya diperluaskan.

Berucap di Dewan Negara, beliau berkata sepanjang tempoh percubaan itu, sebarang masalah termasuk dari aspek pentadbiran dan perundangan akan dikenal pasti dan diselesaikan supaya sistem itu tidak membebankan pengguna jalan raya.

Beliau menjawab soalan tambahan dari Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu sama ada Kementerian Kerja Raya akan mempertimbangkan untuk sistem SmartTAG dan RFID disatukan dalam lorong yang sama. Pada masa ini, kedua-dua sistem itu diletakkan di lorong berasingan.

“Pembekal perkhidmatan bagi kedua-dua sistem pembayaran tol itu adalah berbeza maka teknologi serta ‘reader’ (pengesan teknologi) juga tidak sama,” kata beliau, sambil menambah yang sistem-sistem tersebut diasingkan kerana ia boleh menyebabkan kecelaruan pada sistem pengesan jika diletakkan di dalam lorong yang sama.

Menjawab soalan dari Senator Muhammad Zahid Md Arip, yang bertanya jika Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempunyai asas perundangan untuk mewajibkan penggunaan RFID berharga RM35 sedangkan sistem kad Touch ‘n Go hanya berharga RM10, Fadillah berkata pengguna diberi pilihan untuk menggunakan RFID dan pihak lebuh raya masih mengekalkan mod pembayaran lain seperti kad Touch n Go dan SmartTag.

Beliau menambah yang harga jualan semasa bagi tag RFID iaitu RM35 merangkumi kos tag RFID, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah meminta pihak TNG Sdn Bhd (TNGSB) untuk mengkaji semula kos-kos berkenaan bagi tujuan mengurangkan harga jualan tag tersebut.

PLUS RFID

Tambah Fadillah, pihak Kementerian juga telah melaksanakan pelbagai kajian, sesi libat urus dan dialog bersama pihak berkepentingan (stakeholders) bagi mendapatkan maklum balas serta mencadangkan penyelesaian terbaik untuk melancarkan proses pembayaran tol di lebuh raya.

Hasil kajian mendapati teknologi RFID telah diguna pakai secara meluas di negara-negara luar bagi tujuan pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti (Multi-Lane Free Flow – MLFF). Bagaimanapun, Fadillah berkata pihak Kementerian akan terus membuat kajian terhadap keberkesanan teknologi RFID berbanding teknologi yang sedia ada sebelum membuat keputusan seterusnya.

Dengan MLFF kelak, Kementerian turut mengenal pasti keperluan pengesanan nombor plat kenderaan bagi tujuan pelaksanaan penguatkuasaan ke atas kesalahan tol. Berdasarkan rekod, jumlah kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan pencerobohan tol dari tahun 2016 sehingga 2019 adalah sebanyak 1.2 juta kenderaan dengan kerugian hasil tol yang ditanggung oleh syarikat-syarikat konsesi dianggarkan berjumlah RM23.08 juta.

Previous post

Mercedes-AMG GT Track Series Edition Terpantas Terhad Kepada 55 Unit

Next post

Akhirnya Boss MARii Ditahan Reman Oleh SPRM

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *