Motosikal / Lain Lain Roda

Suzuki GSX-R150, GSX-S150 Dilancarkan Di Malaysia

Seperti yang dijanjikan pada suku keempat tahun lalu, Suzuki Malaysia hari ini melancarkan tiga model bersesaran 150 cc untuk pasaran tempatan iaitu GSX-R150, GSX-S150 dan Raider R150 Fi. Pelancaran ini sekali gus menandakan kemunculan semula jenama Jepun itu ke dalam pasaran motosikal kecil Malaysia.

Secara asasnya kedua-dua model ini menggunakan enjin dan casis yang sama, namun GSX-R150 dan GSX-S150 mempunyai fokus tunggangan yang berbeza.

GSX-R150 dengan fairing penuh menawarkan nisbah kuasa-berat serta pecutan yang terbaik dalam kelasnya. Rekaan panel badan yang terbukti di terowong angin itu menawarkan kawasan unjuran terkecil dalam kelasnya, memberikan pecutan dan penjimatan bahan api yang lebih baik, serta kestabilan dengan mengurangkan daya angkat dan seretan.

Menurut Suzuki Malaysia, fairing dan panel GSX-R150 juga lebih kuat dan ringan berbanding pesaingnya. Ini digabungkan dengan pelana yang diletakkan pada kedudukan yang rendah bagi memberikan posisi tunggangan yang sporty.

Sementara itu, GSX-S150 pula berkongsi prestasi yang serupa namun dengan tema naked bike yang menampilkan bar hendal tradisional dan kedudukan pelana yang rendah untuk tunggangan yang lebih selesa.

Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 150 cc sejukan cecair, empat injap DOHC silinder tunggal yang menghasilkan 14.1 kW pada 10,500 rpm dan 14 Nm pada 9,000 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.

Enjin ini dilengkapi dengan beberapa teknologi daripada GSX-R1000 seperti nisbah bore and stroke yang dioptimumkan, sistem pancitan bahan api elektronik, badan pendikit dengan diameter 32 mm dan salutan silinder Suzuki Composite Electromechanical Material (ESCM).

Untuk casis, GSX-R150 dan GSX-S150 menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak monoshock dengan lengan ayun link-type. Sudut stereng dikekalkan pada 35 darjah bagi menjadikan ia lebih praktikal ketika menempuh trafik.

Kelengkapan lain yang disertakan pada kedua-dua model termasuklah paparan kluster instrumen LCD, sistem tanpa kunci dan sistem permulaan mudah yang membolehkan enjin dengan satu sentuhan sahaja.

GSX-R150 dijual pada harga RM11,329, manakala GSX-S150 pula berharga RM10,289. Kedua-duanya didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

GSX-R150 boleh didapati dalam warna Metallic Triton Blue Suzuki MotoGP dan Red Titan Black, manakala GSX-S150 pula dalam warna Aura Yellow/Pearl Brilliant White dan Metallic Triton Blue.

Previous post

Toyota Gazoo Racing Festival Akan Kembali Untuk Musim Ke-5

Next post

Suzuki Raider R150 Fi Tiba Di Malaysia - RM8,173

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *