Berita Auto

Mazda CX-60 Hadir Sebagai PHEV Pertama Jenama Itu

Empat bulan selepas pengenalan CX-50, ofensif SUV Mazda kini diteruskan dengan satu lagi model iaitu CX-60 serba baharu. Selain menjadi kenderaan pertama jenama itu yang dilengkapi dengan trenkuasa hibrid plug-in, ia juga merupakan model pertama Large Product Group yang dipasarkan di Eropah dalam tempoh dua tahun akan datang.

CX-60 dibina menggunakan platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture baharu yang direka supaya sesuai dengan susunan enjin depan longitud pacuan roda belakang. Pada mulanya, ia akan ditawarkan dengan trenkuasa e-Skyactiv PHEV yang merangkumi enjin petrol Skyactiv-G 2.5-liter empat silinder, sebuah motor elektrik dan bateri lithium-ion 17.8 kWh.

Enjin itu, yang turut digunakan pada CX-5, menghasilkan 192 PS dan 261 Nm, manakala motor elektrik tersebut pula menjana 135 PS (100 kW) dan 250 Nm. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 327 PS (241 kW) dan 500 Nm, sekaligus menjadikan CX-60 model jalanan Mazda paling berkuasa pernah dihasilkan.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda i-Activ, CX-60 mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Dengan kuasa elektrik sahaja, ia boleh bergerak sejauh 63 km pada kelajuan 100 km/j dan ke bawah.

Mazda juga akan memperkenalkan dua versi enam silinder – petrol 3.0-liter e-Skyactiv X dan diesel 3.3-liter Skyactiv-D – dengan dua tahap kuasa dan sistem hibrid ringkas yang dikenali sebagai M Hybrid Boost. Seperti model empat silinder, versi-versi ini mendapat transmisi automatik lapan kelajuan dan i-Activ AWD namun ia juga mungkin ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD).

Mod-mod pemanduan boleh diakses menerusi sistem Mi-Drive Mazda Intelligent Drive Select yang menawarkan mod Normal, Sport, Off-Road, Towing dan EV. Bercakap tentang pemanduan, platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture itu menampilkan beberapa penambahbaikan termasuk Kinematic Posture Control (KPC) yang membantu mendapatkan pergerakan badan yang lancar dan kestabilan di selekoh walaupun pada kelajuan tinggi.

Dari segi reka bentuk, CX-60 menandakan evolusi falsafah reka bentuk Koda menerusi bonet yang panjang dan bahagian belakang yang pendek. Lampu depan baharu itu menampilkan rekaan bertindih dengan signatur pencahayaan berbentuk L, yang turut ditampilkan pada lampu belakang, manakala sayap pada gril depan diberikan elemen bercahaya.

Di dalam, anda akan disambut dengan pelbagai material semula jadi seperti kemasan kayu asli, trim kayu maple dan tekstil tenunan berkualiti tinggi, serta susun atur kokpit yang simetri yang memfokuskan kepada pemandu. Bahagian ini menampilkan kluster instrumen pemandu TFT-LCD berukuran 12.3 inci, paparan head-up (HUD) yang besar dan paparan infohibur 12.3 inci.

Rangkaian komprehensif sistem bantuan pemandu i-Activsense disertakan pada CX-60, di samping beberapa ciri baharu seperti See-Through View, yang secara asasnya merupakan monitor 360 darjah, Hill Descent Control (HDC), Cruise Control (i-ACC) dengan Traffic Sign Recognition dan juga Vehicle Exit Warning.

Previous post

Honda City, Accord Dapat Pilihan Warna Baharu

Next post

Toyota Gazoo Racing Festival Akan Kembali Untuk Musim Ke-5

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *