Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Maserati Sasar Jual EV Sahaja Menjelang 2030

Maserati telah menggariskan rancangan elektrifikasinya, di mana syarikat itu mensasarkan untuk mengelektrifikasikan keseluruhan barisan modelnya menjelang 2025 dan memasarkannya di bawah rangkaian baharu yang dikenali sebagai Folgore, yang bermaksud kilat dalam bahasa Itali. Menjelang 2030, semua model Maserati yang mempunyai enjin pembakaran dalaman akan ‘lesap’ dari pasaran.

Menurut syarikat itu, rangkaian Folgore akan diketuai oleh Maserati GranTurismo serba baharu yang akan membuat kemunculan sulungnya pada 2023. Dihasilkan di kilang Mirafiori milik Stellantis yang terletak di Turin, kereta sports elektrik itu dilaporkan akan tampil dengan pelbagai teknologi yang diperoleh daripada Formula E.

maserati granturismo folgore

Antaranya ialah sistem elektrikal 800 volt, konfigurasi tiga motor elektrik dengan kuasa melebihi 1,200 hp, sistem pacuan semua roda. Masa pecutan 0-100 km/j dikatakan mengambil masa kurang dari tiga saat, manakala kelajuan maksimum pula dijangka melebihi 300 km/j.

GranTurismo akan disusuli dengan varian elektrik Grecale tidak lama kemudian, dan pada tahun 2025, model-model Maserati iaitu MC20, Quattroporte dan Levante akan mendapat versi elektrik masing-masing bagi melengkapkan rangkaian Folgore.

maserati granturismo folgore

Seperti yang diperkatakan, Maserati juga telah mengesahkan yang ia akan menghentikan jualan semua model dengan enjin pembakaran dalaman menjelang 2030.

Langkah yang diambil oleh Maserati untuk menuju ke arah era elektrifikasi dalam masa terdekat ini boleh dikatakan berani, terutamanya memandangkan jenama itu hanya menawarkan model-model hibrid setakat ini, namun semuanya sebahagian daripada pelan strategik “Dare Forward 2030” yang diumumkan oleh Stellantis pada awal bulan ini.

Previous post

Jualan Dan Pengeluaran Untuk Februari 2022 Jauh Lebih Baik Daripada Jangkaan

Next post

BMW X1 2023 Mungkin Mengejutkan Anda Untuk Membelinya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *