Berita Auto

Maserati Levante S 2022 Kini Di Malaysia – RM808,800

Naza Italia secara rasminya melancarkan Maserati Levante S 2022 ke pasaran Malaysia, menampilkan penambahbaikan yang melibatkan aspek reka bentuk, serta sistem infohibur dan bantuan pemandu. SUV berprestasi tinggi itu dijual pada harga RM808,800 termasuk duti, cukai dan juga opsyen, dan hadir dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Levante S dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo V6 yang menghasilkan 430 hp pada 5,750 rpm dan 530 Nm dari 2,000 hingga 4,750 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF dan sistem Q4 Intelligent All-Wheel-Drive dengan LSD belakang, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 264 km/j.

Untuk 2022, bahagian depan Levante S diberikan sedikit perubahan menerusi gril rekaan baharu, manakala bahagian belakang pula menampilkan kluster lampu baharu dalam bentuk boomerang, yang diinspirasikan oleh model 3200 GT. Tidak kira trim apa yang dipilih (GranSport atau GranLusso), rim 21 inci didatangkan secara standard.

Di dalam, sebuah paparan berukuran 8.4 inci dengan rekaan tanpa bingkai dan grafik yang dipertingkatkan menghiasi bahagian tengah papan pemuka. Kluster instrumen turut diberi sentuhan segar menerusi rekaan rev counter dan speedometer yang diperbaharui, serta paparan TFT tujuh inci di tengah.

Bukan itu sahaja, Maserati berkata trim plastik pada bahagian itu telah digantikan dengan kaca anti-silau untuk penampilan yang lebih canggih, manakala gabungan trim hitam berkilat dan hitam matte menghasilkan efek yang lebih kaya.

Sistem bantuan pemandu termaju atau ADAS turut diberi penambahbaikan dan kini merangkumi ciri Active Driving Assist (ADS). Merupakan kesinambungan kepada Highway Assist yang sebelum ini hanya boleh digunakan di atas lebuh raya, ADS boleh diaktifkan di atas mana-mana jalan berturap pada kelajuan sehingga 145 km/j, dengan syarat Adaptive Cruise Control turut diaktifkan.

Sistem ini menggunakan radar dan kamera depan untuk bekerjasama dengan EPS bagi mengawal arah pergerakan kenderaan. Kamera multi-fungsi berkenaan ditugaskan untuk mengesan penanda jalan dan mengira jarak serta kelajuan kenderaan di depan.

Previous post

Proton X70 Facelift Akan Mendapat Enjin 1.5 Turbo

Next post

BMW i7 Akan Datang Pada April Dengan Skrin 31″ Untuk Penumpang Belakang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *