Pandu Uji

Kita Pandu Uji Volvo XC40 Recharge Pure Electric

Zaman kereta elektrik sepenuhnya di Malaysia sudah bermula. Tahun lalu, Hyundai Kona Elektrik diperkenalkan, baru-baru ini, Mercedes-Benz EQA dan kini … Volvo XC40 Recharge Pure Electric.

3 varian Hyundai Kona Elektrik berharga dari RM149,888 – RM199,888. Mercedes-Benz EQA berharga RM278,201. Berapakah harga Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini? Tak tahu. Ianya belum diumumkan. Masih rahsia. Ianya akan diumumkan pada 4 April 2022, di mana pelanggan boleh menempah secara dalam talian pada hari yang sama.

Apa yang kita tahu, ianya CKD, Complete Knock Down, yang bermaksud ianya di pasang di dalam negara, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi akan dieksport ke pasaran dalam rantau ASEAN tidak lama lagi. Dengan keupayaannya memasang kereta elektrik penuh menerusi kilang pemasangan tempatan miliknya sendiri, Volvo Malaysia akan melancarkan satu model kenderaan elektrik baharu di Malaysia pada setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang, dengan kereta elektrik kedua, Volvo C40, mungkin akan datang lewat tahun ini.

Kami diberi peluang memandu uji Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini sehari selepas pelancaran Malaysianya dari Saujana Hotel Subang ke Embun luxury Villas Bentung melalui Janda Baik dan Genting Highlands tanpa mengecas semula kenderaan elektrik 100% bateri ini. Perjalanan kami merangkumi jalan-jalan lebuhraya, selekoh, mendaki bukit cerung dan kami memandunya bagai nak rak, dengan sengaja, kerana kami ingin tahu sama ada kereta elektrik sepenuhnya ini boleh dipandu sekuat, sekasar, sepantas kereta sport petrol yang ramai biasa pandu naik-turun Genting pada hujung minggu. Bolehkah ia ‘keep up’??? Jawabannya bernas …Oh yeah! Boleh … dan lagi. Cuma kerana Volvo adalah Raja Safety, kelajuan tertinggi Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini dihadkan kepada 180 km/jam. Tetapi kerana jalan berselekoh, trafik heavy, pikap dan pemecutan yang giler ianya tak ada hal untuk sampai ke destinasi di hadapan dan sebelum yang lain.

Bila pedal ditekan sepenuhnya, respon adalah serta merta. Tidak ada ‘lag’ langsung. Kuasa terus menerus. Melonjak kereta kehadapan tanpa was-was. Tanpa sebarang ‘wheel spin’.

Tork 660Nm Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini sememangnya bukan untuk mereka yang lemah semangat. Malah casis XC40 hampir tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang dihasilkan oleh motonya. Kuasanya paling sesuai dirasai pada jalan lurus. Jangan suka-suka memecut semasa di selekoh. Makan kangkunglah jawabnya. Sesiapa pun perlu membiasakan diri dulu dengan cara ia memandu.

Walau pun pedal yang disediakan adalah dua, ‘default setting’ dia adalah untuk pemanduan dengan satu pedal sahaja, pedal kanannya, tekan dan kereta jalan ke hadapan. Lepas dan kereta perlahan seperti anda brek. Jika anda tidak biasa dengan memandu dengan satu pedal anda boleh tukar kepada ‘setting’ pemanduan dua pedal di dalam infotainment skrin 9 incinya. Pedal kiri untuk brek, pedal kanan untuk pecutan. Kami ‘recommend’ biasakan diri dengan memandu satu pedal. Lagi best. Lama-lama biasa lah. Perhatian, walaupun memandu dengan satu pedal, pedal sebelah kiri itu mash boleh digunakan untuk brek. Manalah tau, takut tak yakin.

Satu lagi yang menarik dengan Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini ialah Google Integration, penyepaduannya dengan Google. Ini sangat berkesan, terutama sekali dengan Google Map pada skrin. Sistem navigasi memberi anda anggaran peratusan bateri yang tinggal, apabila sampai ke destinasi anda. DAN anggaran peratusan bateri semasa membuat perjalanan pulang ke lokasi semasa anda.

Terdapat juga kluster instrumen digital sepenuhnya yang baharu memaparkan semua maklumat dengan kemas bersama animasi. Perlu diingat juga bahawa versi XC40 ini mempunyai lebih banyak kamera, radar dan penderia ultrasonik berbanding yang lain.

Selain itu, versi elektrik XC40 ini adalah … versi elektrik XC40. Pemilih gear tidak mempunyai fungsi tiptronic, tidak ada paddle shifters, tidak ada tayar ganti (tetapi lantai but berlipat kembali), dan terdapat kit baiki tayar di bawah hud hadapan yang kecil tetapi boleh digunakan.

Saiz tayar hadapan dan belakang berbeza dan gril hadapan tertutup untuk penampilan yang lebih futuristik.

Mengecas Volvo XC40 Recharge Pure Electric ini boleh dilakukan dengan Pengecas AC 11kW di rumah atau dengan Pengecas Laju DC (sehingga 150kW).

Penyelaras drive kita kali ini ialah Ivan dan dia telah membuat pengiraan anggaran jumlah wang ringgit yang di gunakan untuk drive turun naik kali ini ialah, untuk jumlah kuasa letrik yang digunakan ialah kira-kira RM17.00 dan untuk jumlah kuasa petrol Ron 97 yang digunakan hot-hatchnya ialah kira-kira RM112.00. Jimat RM95.00. Orait gak tu.

Volvo XC40 Recharge Pure Electric akan dipamerkan di semua pengedar sah Volvo di Malaysia mulai 4 April 2022. Penghantaran XC40 Recharge Pure Electric akan bermula pada penghujung April 2022 dan seterusnya, untuk semua lokasi di seluruh Malaysia. Para pembeli yang berminat boleh menempah pandu uji melalui  www.volvocars.com/my

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.volvocars.com/my atau ikuti  Volvo Car Malaysia di Facebook http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-IG.

Previous post

Ford Akan Menjadi 100% Elektrik Di Eropah Menjelang 2024

Next post

GWM TANK 500 - Alternatif Kepada Toyota Land Cruiser?

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *