Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Haval H6 PHEV Sedia Masuk Pasaran Thailand

Selepas melancarkan Haval H6 Hybrid di Thailand, Great Wall Motors (GWM) kini akan memperkembangkan rangkaian SUV itu dengan versi hibrid plug-in (PHEV). Model itu telah dikesan oleh CarNewsChina di sebuah pelabuhan, mungkin sedang dalam persiapan untuk dihantar ke Negeri Gajah Putih itu.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama Haval H6 PHEV berada di Thailand kerana ia telah membuat penampilan pertamanya di Thai Motor Expo 2021 pada Disember tahun lalu. Beberapa perincian mengenai trenkuasanya juga telah didedahkan pada acara tersebut.

Pertama sekali, di bawah bonet terdapat enjin turbo 1.5-liter yang dipadankan dengan sebuah motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 326 hp dan 530 Nm. Dengan pek bateri berkapasiti 41.5 kWh, SUV ini dilaporkan mampu mencapai jarak pemanduan elektrik sejauh 201 km berdasarkan kitaran NEDC.

Melihat angka-angka berkenaan, ada kemungkinan H6 PHEV dipacu oleh trenkuasa yang sama dengan H6 Hybrid, cuma versi tersebut mempunyai output yang lebih rendah iaitu 243 hp. Jumlah tork masih sama iaitu 530 Nm.

Dari segi reka bentuk luarannya, H6 PHEV dilihat mengikut jejak langkah H6 Supreme+ (model edisi ulang tahun ke-10) dengan menampilkan gril tanpa bingkai dan perumah lampu kabus yang direka semula. Selain itu, penampilannya tidak ubah seperti H6 Hybrid.

Persamaan dengan edisi Supreme+ diteruskan pada ruang kabin, di mana anda akan menemui sebuah skrin sentuh berukuran 12.3 inci di atas papan pemuka, penukar gear jenis rotary dan corong pendingin hawa melintang. Turut disertakan adalah sebuah skrin kecil di belakang roda stereng yang akan bertindak sebagai kluster instrumen digital.

Adakah Haval H6 PHEV akan tiba di Malaysia?

Anda mungkin sudah tahu yang GWM akan kembali ke pasaran Malaysia pada tahun ini, kemungkinan besar dengan H6, Jolion dan Ora Good Cat sebagai penawaran terawalnya. Setakat ini, masih tiada maklumat mengenai H6 PHEV namun jangkaan kami, kehadiran SUV hibrid plug-in itu bergantung kepada prestasi jualan tiga model berkenaan.

Previous post

BYD Bekerjasama Dengan Shell Di Stesen Pengecas EV China Dan Eropah

Next post

Adakah Kerajaan Akan Hapuskan Subsidi RON95 Pada 2022?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *