Hibrid, Elektrik, Hidrogen

BYD Auto Lancar SUV Elektrik Atto 3 Di Australia

Nama BYD mungkin tidak segah Tesla di peringkat global, namun di halaman sendiri, pengeluar kenderaan dari China itu sebenarnya menjual lebih banyak kenderaan elektrik dan hibrid berbanding gergasi EV dari California itu.

Tidak mahu bergantung kepada kejayaan di negara sendiri semata-mata, BYD telah mula meluaskan sayapnya ke pasaran-pasaran negara luar, bermula dengan pelancaran SUV elektrik Tang di Norway pada tahun lalu.

Kini, BYD menetapkan sasarannya pada Australia, di mana ia akan melancarkan beberapa model kenderaan tenaga baharu (new energy vehicles) pada tahun ini. Strategi ofensif syarikat itu akan dimulakan dengan pelancaran Atto 3, sebuah SUV elektrik kompak yang dikenali sebagai Yuan Plus di China. Menurut BYD, ia akan dijual pada harga yang kompetitif bagi menyaingi “kereta petrol berkualiti tinggi.”

Bagaimanapun, harga model ini bergantung kepada lokasi di mana ia dijual. Namun sebelum itu, mari kita lihat barisan Atto 3 untuk pasaran Australia. EV itu akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Superior dengan bateri 50.1 kWh dan Superior Extended Range yang dilengkapi dengan bateri 60.4 kWh.

Varian Superior dijual pada harga AUD44,381 (RM135,984), manakala Superior Extended Range pula berharga AUD47,381 (RM145,176). Di sesetengah negeri seperti Tasmania, varian entry-level itu mempunyai harga ‘drive away’ yang lebih rendah, menjadikannya salah satu EV paling mampu milik di negara itu selepas MG ZS EV. Di Australia Barat pula, misalnya, harganya lebih tinggi. Namun,harus diingat yang setiap negeri mempunyai insentif EV masing-masing.

Tidak kira varian apa yang dipilih, Atto 3 dilengkapi dengan sebuah motor elektrik pada gandar depan yang mampu menjana 150 kW (204 PS) dan 350 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat. Superior menawarkan jarak pemanduan sejauh 320 km, manakala Superior Extended Range pula boleh dipandu sejauh 420 km dengan satu cas penuh. Kedua-dua angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP.

Untuk pengecasan, kedua-dua varian tersebut didatangkan dengan penyambung Type 2 yang membolehkan pengecasan AC sehingga 7 kW. Turut disertakan adalah port CCS Type 2 yang menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 80 kW. Pengecasan ini boleh memulihkan tenaga bateri dari 20% hingga 80% dalam tempoh 45 minit.

Bukan itu sahaja, Atto 3 juga menyokong fungsi pengecasan dua hala atau Vehicle-to-Load (V2L) dengan bekalan kuasa sehingga 2.2 kW. Ia boleh digunakan untuk mengecas atau menghidupkan perkakasan elektrik, alatan, gajet mahu pun kelengkapan berkhemah.

Sebagai sebahagian daripada strategi ofensifnya di Australia, BYD dilaporkan membuat pelaburan yang signifikan untuk sebuah kilang dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 15,000 unit kenderaan. Selain itu, BYD juga telah menandatangani kerjasama strategik dengan Eagers Automotive bagi menjadikan syarikat pengedar tempatan itu sebagai pengedar eksklusifnya di negara itu dengan pegangan saham sebanyak 49%.

Previous post

Honda RS150R Kini Boleh Didapati Dalam Warna Baharu - RM8,299

Next post

Lamborghini Dibuka Semula Di Kuala Lumpur Dengan Sunway Group

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *