Motosikal / Lain Lain Roda

Triumph Dedah Prototaip Motosikal Elektrik TE-1

Motosikal elektrik Triumph TE-1 kini maju selangkah lagi untuk menjadi realiti apabila syarikat itu mengumumkan bahawa Fasa 3 projek itu telah pun selesai. Bukan itu sahaja, Triumph turut memperlihatkan reka bentuk prototaip motosikal itu buat pertama kalinya sejak ia diumumkan pada Mei 2019.

Fasa 3, yang bermula kira-kira setahun yang lalu, merupakan peringkat kerjasama yang melibatkan integrasi rangka, pek bateri dan trenkuasa yang dibangunkan oleh ahli-ahli projek itu. Triumph membangunkan casis, sistem pacuan akhir (termasuk transmisi dan tali sawat Gates Carbon) sistem elektronik dan perisian kawalan, di samping memasang suspensi Ohlins dan angkup monobloc Brembo M50 pada motosikal itu.

Triumph TE-1

Sementara itu, Williams Advanced Engineering menguruskan pek bateri, yang menggabungkan pempakejan sel untuk pusat graviti yang optimum, unit kawalan kenderaan, penukar DCDC, sistem penyejukan, port pengecas dan penutup karbon.

Satu lagi ahli projek TE-1 iaitu Integral Powertrain pula menyediakan trenkuasa termasuk inverter dan motor dengan teknologi penukaran silikon karbida, serta sistem penyejukan terintegrasi.

Akhir sekali, Warwick Manufacturing Group (WMG) dari University of Warwick diberikan tanggungjawab untuk menjalankan simulasi percubaan akhir pra-langsung. Ujian menunjukkan yang projek tersebut berada di landasan yang tepat untuk memberikan prestasi dan ketahanan yang diharapkan.

Triumph TE-1

Dengan selesainya Fasa 3, projek TE-1 akan memasuki Fasa 4 di mana ia akan menjalani program ujian selama enam bulan yang merangkumi ujian di jalan raya dan litar. Untuk ujian jalan raya, ia merangkumi aspek-aspek seperti penentukuran pendikit, pemetaan trenkuasa, penilaian jarak tunggangan dan penggunaan bateri dan pengoptimuman thermal.

Triumph TE-1

Untuk ujian litar pula, Triumph akan memfokuskan kepada aspek pecutan, brek dan teknologi brek janaan semula, kawalan cengkaman (Traction Control) dan Front Wheel Lift Control.

Triumph TE-1

Triumph mensasarkan untuk melengkapkan Fasa 4 pada musim panas tahun ini. Seterusnya, TE-1 akan diberikan kemas kini dalam bentuk panel badan akhir dan skema warna sebagai persediaan untuk sesi demonstrasi di litar lumba. Spesifikasi lengkap, hasil ujian dan fakta-fakta penting juga akan diumumkan pada waktu itu.

Previous post

Rolls-Royce Membentuk Semula Ornamen Spirit Of Ecstasy

Next post

Jualan Kenderaan Hibrid Melambung Di AS Sebalik Pengutamaan EV

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *