Berita Auto

Toyota Veloz Dilancarkan Di Thailand, Malaysia Selepas Ini?

Ketika Toyota melancarkan Avanza generasi ketiga di Indonesia kira-kira tiga bulan lalu, syarikat itu turut sempat memperkenalkan versi yang lebih sporty dan premium yang dikenali sebagai Veloz. Model tersebut kini telah dilancarkan di Thailand, di mana ia ditawarkan dalam varian Premium dan Smart.

Dari segi penggayaan, Veloz tampil dengan rekaan bahagian depan yang lebih menonjol jika dibandingkan dengan Avanza. Di sini, gril berbentuk heksagon itu dibahagikan kepada dua bahagian – bahagian atas dihiasi dengan kemasan mesh bercorak Y dan logo Toyota, manakala bahagian bawah pula dengan jalur-jalur melintang. Di bawahnya pula terdapat skid plate, sesuatu yang tidak ada pada Avanza.

Membezakan lagi Veloz daripada Avanza ialah rekaan lampu yang lebih tajam, trim krom berbentuk T dan kemasan lampu kabus berbentuk segi tiga. Di belakang, rekaan bampar Veloz dilihat lebih agresif, manakala lampunya disambungkan dengan jalur yang merentangi sepanjang pintu tailgate. Sebagai varian tertinggi, Premium didatangkan dengan rim aloi 17 inci, manakala Smart mendapat rim 16 inci.

Dibina di atas platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA), Veloz mempunyai ukuran panjang 4,475 mm, lebar 1,750 mm dan tinggi 1,700 mm. Ukuran tapak rodanya ialah 2,750 mm, manakala jarak lega tanah ialah 205 mm.

Perubahan juga boleh dilihat dengan jelas di dalam kabin, di mana Veloz menampilkan upholsteri kulit sintetik/fabrik dua tona berwarna hitam dan kelabu yang kelihatan lebih premium. Bukan itu sahaja, konsol tengah turut direka semula bagi mendapatkan lebih banyak ruang storan.

Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah speedometer Optitron dengan paparan multi-info (MID) tujuh inci, skrin sentuh berukuran sembilan inci dengan fungsi pengecaman suara untuk Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pencahayaan ambien LED, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, dan cermin pandang belakang elektrokromik.

Untuk trenkuasa pula, Veloz hanya boleh didapati dengan enjin petrol 1.5-liter 2NR-VE yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi D-CVT, yang hadir bagi menggantikan kotak gear automatik empat kelajuan yang digunakan pada Avanza sebelum ini.

Sebagai makluman, selain enjin ini, Avanza baharu juga ditawarkan dengan pilihan enjin 1.3-liter 1NR-VE dengan janaan sebanyak 98 PS dan 121 Nm.

Ciri-ciri keselamatan standard terdiri daripada Vehicle Stability Control, Traction Control, Hill-Start Assist, Blind Spot Monitor, Rear-Cross Traffic Alert dan enam beg udara. Varian Premium dilengkapi dengan Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre-Collision System (PCS), Automatic High Beam (AHB), Lane Departure Alert (LDA), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

Sama ada Veloz akan memasuki pasaran Malaysia atau tidak masih belum diketahui, namun Avanza, yang kali terakhir dikemas kini pada 2019, sudah agak ‘lapuk’ dan perlu digantikan secepat mungkin. Persoalannya, adakah UMW Toyota Motor akan membawa masuk kedua-dua Avanza dan Veloz, atau Veloz sahaja, seperti yang dilakukan oleh Toyota Motor Thailand?

Sekiranya anda masih belum tahu, Avanza baharu merupakan asas kepada Daihatsu Xenia yang diperkenalkan baru-baru ini. Xenia pula dikatakan akan ‘melahirkan’ Perodua Alza generasi seterusnya. Apa-apa pun, kita tunggu dan lihat.

Previous post

Modenas Karisma 125S Masuk Pasaran Malaysia - RM5,397

Next post

6.5J EV Dijual Pada 2021, Separuh Di China. Teka Siapa No.1?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *