Berita Auto

Toyota Camry Facelift Dilancarkan Di Malaysia – RM199,109

UMW Toyota Motor telah melancarkan Toyota Camry generasi kelapan versi facelift untuk pasaran tempatan. Diimport sepenuhnya dari Thailand, sedan segmen D itu bukan sahaja tampil dengan penggayaan dan kelengkapan baharu, malah ia juga mendapat kemaskini trenkuasa.

Apa yang dimaksudkan adalah penggunaan enjin Dynamic Force 2.5-liter empat silinder (A25A-FKS) bagi menggantikan enjin 2AR-FE sebelum ini. Dilengkapi dengan Dual VVT-i pada bahagian intake dan exhaust, enjin ini menghamburkan 209 PS pada 6,600 rpm dan 253 Nm pada 5,000 rpm, 25 PS dan 18 Nm lebih tinggi berbanding enjin terdahulu.

Bukan itu sahaja, dengan pengurangan dalam kehilangan tenaga (energy loss) yang berkaitan dengan ekzos dan sistem penyejuk, enjin ini dikatakan boleh mencapai kecekapan terma sebanyak 40%. Menurut Toyota, penggunaan bahan api ialah pada kadar 6.8 l/100 km, 8% lebih jimat berbanding enjin 2AR-FE.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi automatik Direct-Shift lapan kelajuan baharu yang dikatakan lebih kompak dan ringan. Ia juga mempunyai nisbah gear yang lebih lebar yang memberikan pecutan yang lebih kuat semasa kereta hendak mula bergerak dan juga kecekapan bahan api yang baik pada kelajuan melayar.

Dari segi penampilan, tidak banyak yang diubah. Gril depan direka semula, rim 18 inci didatangkan dalam reka bentuk baharu, manakala lampu belakang LED diserlahkan lagi dengan efek ‘smoke’. Lampu depan merupakan unit Bi-Beam LED dengan lampu nyalaan siang LED dan mempunyai fungsi Follow-Me-Home.

Di dalam, bahagian papan pemuka telah direka semula bagi memuatkan skrin sentuh sembilan inci baharu yang didatangkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio JBL, lengkap dengan subwoofer.

Oleh sebab ia popular sebagai sedan eksekutif, Toyota meningkatkan keselesaan penumpang belakang dengan menyertakan panel kawalan yang membolehkan mereka menyendengkan kerusi, melaraskan sistem pendingin udara tiga zon dan tabir suria serta mengawal sistem audio.

Turut diberi perhatian adalah sistem keselamatan, di mana Camry didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) terkini yang merangkumi Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Keeping Assist (LKA), Steering Assist, Lane Tracing Assist (LTA) dan All Speeds Auto High Beam (AHB).

PCS kini boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada semua kelajuan, manakala DRCC kini beroperasi pada semua kelajuan dan memecut secara automatik untuk memotong kenderaan apabila lampu isyarat membelok digunakan. Ciri Curve Speed Reduction pula bertindak mengurangkan kelajuan apabila menghampiri selekoh.

Turut disertakan adalah Panoramic View Monitor (PVM), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Auto Brake (RCTAB) dan Intelligent Clearance Sonar (ICS).

Didatangkan dalam varian 2.5V, Camry facelift boleh didapati dalam warna Graphite Metallic, Silver Metallic, Red Mica dan juga dua warna unik tersendirinya, iaitu Platinum White Pearl dan Burning Black, dengan kos tambahan RM800.

Ia dijual pada harga RM199,109.50 (tanpa cukai jualan dan insuran).

Previous post

UMW Toyota Motor Berjaya Jual 7,528 Kereta Pada Januari

Next post

Maserati Grecale Untuk Pelancaran Perdana Dunia Pada 22 Mac

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *