Berita Auto

Sindiket Kereta Klon Guna Media Sosial Untuk Tarik Pelanggan

Kelebihan media sosial sebagai medium perniagaan nampaknya telah disalah guna oleh sindiket penjualan kereta klon untuk mengiklankan kereta-kereta berkenaan secara terang-terangan.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, sindiket itu menggunakan aplikasi seperti Facebook dan Telegram untuk memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelanggan secara dalam talian.

Tinjauan JPJ mendapati terdapat pelbagai kereta jenama luar negara yang dijual pada harga bawah RM20,000, malah ada yang boleh dibeli pada harga serendah RM5,000 sahaja.

Hanif berkata, permintaan juga amat membimbangkan dan pihaknya khuatir taktik terbaharu ini akan membuatkan orang ramai lebih mudah terpengaruh dengan tawaran harga kereta mewah yang tidak masuk akal.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah tertipu dengan tawaran berkenaan. Meskipun harganya murah, ia memberi risiko besar kepada pemiliknya sekiranya berlaku kemalangan,” kata beliau.

JPJ Negeri Sembilan

Pemilik juga boleh disiasat atas empat kesalahan utama mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memiliki kenderaan bermotor yang tidak berdaftar, mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaannya, mempamerkan cukai jalan bukan kepunyaannya dan tidak memiliki perlindungan insurans.

Malah, ada pemilik kenderaan asal yang bersekongkol dengan sindiket kereta klon dengan membuat cukai jalan dan insurans baharu dengan alasan kereta dicuri atau hilang sebelum menggunakannya pada kenderaan klon.

Tambah Hanif, daripada 44 kenderaan yang disita pihaknya atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu, empat ialah kenderaan klon.

Malah dari 2016 hingga kini, 64 daripada 271 kenderaan sita yang masih dalam simpanan JPJ Negeri Sembilan ialah kenderaan klon.

Previous post

Satu Lagi Versi Mazda CX-5 Yang Anda Mungkin Hendak

Next post

Mengapa Kita Perlu Banyak Cip Dalam Kereta Zaman Sekarang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *