Berita Auto

Pusat 3S Premium SISMA Auto Hub Dibuka Di Glenmarie

SISMA Auto telah mengumumkan pembukaan SISMA Auto Hub, pusat 3S premium pelbagai jenama yang baharu di mana pelanggan boleh membeli, menjual atau mendapatkan servis bagi sebarang jenama kereta mewah. Tapak ini dahulunya merupakan pusat 3S Jaguar Land Rover di Glenmarie, Shah Alam.

Ini berikutan langkah yang diambil oleh Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM), usaha sama antara SISMA Auto dan Sime Darby, baru-baru ini untuk menggabungkan operasi runcitnya di Malaysia. Langkah ini menyaksikan pengambilalihan aset pengedar dan pemindahan kakitangan dari Sime Darby Auto Connexion dan SISMA Auto serta penggabungan operasi runcit ke Ara Damansara, Selangor dan Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang.

Walaupun SISMA Auto masih mengekalkan pegangan yang signifikan bagi perniagaan Jaguar Land Rover sebagai rakan niaga di JLRM, kini ia merancang untuk menggunakan pengalamannya selama lebih 25 tahun sebagai pengedar francais bagi Jaguar, Land Rover dan Volvo untuk menawarkan pengalaman 3S premium yang sama bagi sebarang jenama kereta mewah.

SISMA Auto Hub Glenmarie menampilkan bilik pameran yang memuatkan 14 buah kereta dan 16 ruangan servis yang dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan diagnostik terkini. Pelanggan SISMA Auto Hub boleh:

  • membeli kereta mewah terpakai yang disahkan daripada nama yang dipercayai;
  • menjual kereta mewah terpakai mereka pada harga yang berpatutan, dengan cepat dan telus; dan
  • mendapatkan khidmat servis bagi sebarang jenama kereta mewah yang dibeli dari mana-mana juga dengan mudah.

“Bagi kami, pengalaman premium 3S sewajarnya disediakan untuk semua pemilik kereta mewah. Di SISMA Auto Hub, pasukan kami yang berkemahiran tinggi akan memberikan perkhidmatan unggul yang sinonim dengan SISMA Auto,” kata Syed Khalil bin Syed Ibrahim, Pengarah Urusan, SISMA Auto.

Selain Jaguar Land Rover (Malaysia) dan SISMA Auto Hub, syarikat tersebut pada masa ini mengendalikan dua cawangan Volvo, iaitu bilik pameran di Bukit Bintang, dan Pusat Service and Selekt di Glenmarie, yang terletak bersebelahan dengan SISMA Auto Hub. Volvo Car Malaysia telahpun mengiktiraf SISMA Auto menerusi anugerah ‘Dealer of the Year’ untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2020 dan 2021.

SISMA Auto menyasarkan untuk terus berkembang bersama jenama Volvo di Malaysia dan telah memulakan kerja pembinaan pusat kemudahan utama Volvo 3S di Sungai Besi. Pusat empat tingkat yang mempunyai keluasan 50,000 kaki persegi ini melambangkan kemajuan perniagaan Volvo yang dikendalikan oleh SISMA Auto. Ia dijangka akan mula beroperasi pada penghujung 2022.

Previous post

Harga Grafit Mungkin Meningkat Sama Seperti Litium

Next post

Bagaimana ISUZU D-Max Menebus Balik Kedudukan Nombor Satunya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *