Bisnes

Proton Jual 4,453 Unit Kenderaan Pada Januari 2022

Banjir buruk yang melanda Selangor pada penghujung 2021 mula menampakkan kesannya kepada Proton apabila pengeluar kereta nasional itu hanya menjual 4,453 unit kenderaan (domestik dan eksport) pada bulan Januari 2022, menunjukkan penurunan sebanyak 25.3% berbanding bulan yang sama pada 2021.

Walaupun kilang pengeluaran Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas akibat banjir pada bulan Disember, vendor syarikat pula tidak bernasib baik kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai kemudahan pengeluaran di Shah Alam yang terjejas oleh peningkatan air banjir.

Ini mempunyai kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada bulan Januari yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Tambahan pula, pegangan stok rendah dari bulan sebelumnya kerana syarikat tengah berusaha untuk merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.

Proton X50 Pandu Uji

“Selepas menamatkan tahun 2021 dengan kejayaan, Januari merupakan bulan yang sangat sukar bagi
Proton. Situasi kekurangan bekalan kami menjadi lebih ketara apabila terdapat kekurangan dalam unit yang dikeluarkan, yang seterusnya memberi kesan yang teruk bagi pengedar,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Tambah beliau lagi, pengeluaran untuk semua model terlah disambung semula pada bulan Januari, namun sesetengah model memerlukan lebih banyak masa. Proton juga yakin dapat mencapai sasaran tahun 2022 berdasarkan unjuruan pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun ini.

Di antara semua model, Proton X50 dan X70 merupakan model pertama yang memulakan semula pengeluaran dan ini dapat dilihat dalam prestasi bagi bulan Januari apabila masing-masing mencatat jualan sebanyak 2,601 unit dan 799 unit. Walaupun jumlah individu adalah sederhana berbanding bulan
sebelumnya, jualan gabungan kedua-dua model meletakkan Proton sebagai jenama SUV nombor satu di
Malaysia.

Sementara itu, usaha bantuan banjir untuk pelanggan Proton yang terjejas diteruskan. Menurut syarikat itu, lebih 1,200 kenderaan yang rosak akibat banjir telah diterima di pusat servis rasmi. Ia kemudiannya dibahagikan kepada empat kategori, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, sebelum penilaian dibuat dan pembaikan dijalankan.

“Proton ingin mengingatkan semua pelanggan yang mempunyai kereta yang terjejas akibat banjir supaya menghantar kenderaan mereka ke rangkaian pusat perkhidmatan rasmi kami untuk menikmati manfaat seperti perkhidmatan menunda dan mencuci kereta percuma serta diskaun alat ganti dan caj buruh. Kami juga berterima kasih kepada kerajaan atas baucar bantuan RM1,000, yang terbukti amat bernilai untuk ramai pelanggan kami,” tambah Roslan Abdullah.

Previous post

Usaha Terkini PLUS Memujuk Anda Bertukar Kepada RFID

Next post

Toyota GR Supra Ini Boleh Drift Dengan Sendiri

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *