Berita Auto

Mercedes-Benz C-Class W206 Dilancarkan Di Malaysia

Diperkenalkan di peringkat global kira-kira setahun yang lalu, Mercedes-Benz C-Class generasi W206 kini tiba di Malaysia dalam varian C200 Avantgarde dan C300 AMG Line. Buat masa ini, sedan itu hadir sebagai model import sepenuhnya (CBU) namun akan disusuli oleh versi pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi.

Dari segi penampilan, C-Class direka mengikut acuan yang sama dengan S-Class W223. Ini dapat dilihat menerusi gabungan overhang pendek pada bahagian depan dan belakang, serta ukuran tapak roda yang panjang.

Kedua-dua varian boleh dibezakan menerusi kemasan gril radiator dan kit badan. C300 tampil lebih sporty dengan rekaan bintang berkrom pada gril, kit badan AMG Line dan rim multi-spoke AMG berukuran 19 inci, manakala C200 pula mendapat kemasan bilah menegak pada gril, kit badan Avantgarde Line dan rim 18 inci.

Untuk kelengkapan, lampu LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist, cermin sisi automatik dan perlindungan underbody disertakan secara standard pada kedua-dua varian, namun bumbung suria panoramik dan cakera brek depan yang lebih besar hanya terdapat pada C300.

Di dalam, papan pemuka dan konsol tengah didominasi oleh paparan berukuran 12.3 inci dan juga skrin berukuran 11.9 inci yang dihalakan ke arah pemandu sebanyak enam darjah. Sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) kini memasuki generasi kedua dengan sistem arahan suara “Hey Mercedes” yang lebih interaktif, penstriman muzik menerusi Spotify dan Apple Music serta Augmented Video.

Paparan tengah itu mempunyai tiga gaya paparan (Sporty, Discreet dan Classic) dan tiga mod (Navigation, Assistance dan Services). Selain itu, ciri-ciri seperti modul LTE untuk Mercedes me connect, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pengimbas cap jari turut disertakan.

C200 dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang dipadankan dengan Integrated Starter-Generator (ISG) 48 volt yang bertindak sebagai hibrid ringkas bagi membantu pecutan pada kelajuan rendah, serta memberikan fungsi seperti meluncur dan pemulihan tenaga untuk menjimatkan bahan api.

Enjin tersebut menghasilkan 204 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 300 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm, manakala ISG membekalkan kuasa tambahan sebanyak 20 PS dan 200 Nm. Dengan transmisi 9G-Tronic, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 246 km/j.

Sementara itu, C300 yang mempunyai enjin turbo 2.0-liter empat silinder turut digandingkan dengan ISG dan transmisi yang sama. Dengan 258 PS pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 2,000 hingga 3,200 rpm, ia memerlukan enam saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Kelajuan maksimumnya adalah 250 km/j.

Dari segi keselamatan pula, kedua-dua varian mendapat Lane Tracking, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, Urban Guard, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pedestrian Protection dan pelbagai lagi. Namun, untuk Parking Package, C300 diberikan kamera 360 darjah manakala C200 hanya mendapat kamera undur.

Harga (OTR tanpa insurans) bermula dari RM288,334 untuk C200 Avantgarde Line dan RM330,681 untuk C300 AMG Line.

Previous post

Aston Martin DBX ‘The One Edition’ Dilancarkan Di Malaysia

Next post

Chery Group Mencatat Prestasi Jualan Januari Terbaik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *