Berita Auto

Honda Odyssey Facelift Kini Di Malaysia – RM275,311

Honda Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan MPV tujuh tempat duduk iaitu Honda Odyssey baharu ke pasaran tempatan. Dijual pada harga RM275,311, ia hadir sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Merupakan facelift yang kedua bagi model generasi kelima, Odyssey kini tampil dengan gril, lampu LED dengan lampu posisi serta rekaan bampar baharu yang dikatakan lebih elegan. Begitu juga dengan bahagian belakang, di mana lampu dan bampar direka semula supaya selaras dengan imej segar yang dibawa.

Honda Odyssey

Melengkapkan imej Odyssey baharu ini ialah rim aloi 17 inci dan lampu isyarat membelok berjujukan pada bahagian depan dan belakang. Terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Premium Twinkle Black Pearl dan Super Platinum Metallic.

Sementara itu, ruang kabin pula menampilkan beberapa penambahbaikan premium seperti paparan meter TFT berukuran tujuh inci dan paparan audio baharu berukuran lapan inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Papan pemuka diberi rekaan baharu, lengkap dengan ruang storan bagi memudahkan pengguna.

Selain itu, Odyssey didatangkan dengan upholsteri kulit, tempat duduk kapten dengan fungsi Ottoman pada barisan kedua. Tempat duduk ini boleh dilipat ke depan dan belakang, sekaligus memberikan fleksibiliti kepada pengguna. Turut disertakan adalah ciri tailgate kuasa bebas tangan.

Honda Odyssey

Seperti sebelum ini, Odyssey hadir dengan sistem keselamatan Honda Sensing yang merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).

Ciri-ciri seperti sistem kamera multi-view dengan Smart Parking Assist, Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitor turut dikekalkan pada model facelift ini.

Odyssey masih dikuasakan oleh enjin 2.4-liter i-VTEC empat silinder yang dipadankan dengan CVT dan pacuan roda depan. Enjin NA itu menghasilkan 175 PS dan 225 Nm.

Previous post

Lotus Sport 240 Terakhir Diserahkan Kepada Elisa Artioli

Next post

SAIC Merancang Menjual 120,000 Kenderaan Di Eropah Pada 2022

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *