Undang - Undang

Elak Bayar Tol Bakal Jadi Kesalahan Jenayah

Perbuatan mengelak membayar tol bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika undang-undang baharu diperkenalkan di bawah Kanun Keseksaan seperti yang dirancang.

Menurut laporan, undang-undang tersebut akan dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang mengelak membayar tol di lorong Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di lebuh raya bermula 2025.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan bahawa undang-undang baharu itu sedang dicadangkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MLFF dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata undang-undangan itu serta pindaan yang berkaitan, termasuk pada Akta Pengangkutan Jalan 1987, sedang dimuktamadkan.

Tambah beliau lagi, kementeriannya sedang meniliti sama ada perbuatan mengelak tol boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah atau tidak memandangkan lorong MLFF tidak mempunyai palang.

Bercakap kepada FMT, Fadillah berkata, “Untuk mewujudkan sistem pengesanan kenderaan dan rekod pemandu yang berkesan, kita perlu menghubungkannya dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Undang-undang yang berkaitan perlu diteliti. Mungkin terdapat keperluan untuk undang-undang khas (baharu) atau mungkin undang-undang sedia ada perlu dipinda.”

Menurut Fadillah lagi, ia merupakan tugas yang sukar untuk Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk melaksanakan rancangan MLFF memandangkan halangan terbesar ialah untuk menyelesaikan aspek undang-undangnya.

“Ia merupakan satu cabaran dan kita perlu mendapatkan pemegang konsesi lebuh raya dan pihak berkepentingan lain untuk bersetuju dengan undang-undang baharu itu,” tambahnya.

Selain itu, Fadillah menambah bahawa ketepatan pendaftaran pemilik kenderaan yang disimpan dalam pelekat RFID dan integrasi sistem dengan JPJ juga akan memainkan peranan penting.

MLFF merupakan sistem tol tanpa palang, pondok tol dan lorong khusus yang menggunakan struktur gantri yang dilengkapi dengan sistem pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) di lokasi tertentu.

Cadangan untuk mewujudkan undang-undang ini disebabkan oleh kebimbangan pihak konsesi mengenai risiko perbuatan tidak membayar tol yang lebih tinggi apabila MLFF dilaksanakan.

Buat masa ini, mereka yang mengelak membayar tol boleh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan 1984 (Pengurusan Persendirian) yang membawa hukuman denda antara RM2,000 dan RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

Previous post

Volvo Cars Dan Northvolt Akan Bina Kilang Bateri Gothenburg Sweden

Next post

60,000 EV Fisker Ocean Dijangka Dijual Setiap Tahun Di Eropah

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *