Bisnes

UMW Toyota Akhiri 2021 Dengan Jualan Sebanyak 72,394 Unit

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan prestasi jualan syarikat untuk tahun 2021, di mana ia berjaya menjual sebanyak 72,394 unit kenderaan. Jumlah ini adalah 22% lebih tinggi berbanding 59,320 unit yang direkodkan pada 2020.

Menurut syarikat itu, ia mendahului beberapa kategori termasuk bukan-nasional keseluruhan, segmen B, trak pikap dan juga hatchback. Vios terus memegang takhta sebagai model Toyota paling laris apabila menyumbang 31% dalam jualan keseluruhan jenama itu, manakala Hilux kekal sebagai trak pikap No. 1 di Malaysia sejak 2005.

Jualan bulan Disember 2021 turut menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 0.5% dengan 9,289 unit kenderaan terjual berbanding 9,246 unit pada bulan yang sama tahun lalu. Bagi perbandingan bulan ke bulan, UMW Toyota melepasi angka jualan 8,487 unit pada November dengan kenaikan sebanyak 9%.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan pelanggan setia kami atas sokongan berterusan mereka terhadap kami dan memilih Toyota. Walaupun tahun 2021 agak mencabar bagi kebanyakan sektor termasuk automotif, pasukan di Toyota menunjukkan ketahanan dengan berinovasi secara berterusan untuk menawarkan solusi mobiliti terbaik kepada pelanggan kami yang tidak sabar untuk kembali ke jalan raya selepas sekatan dimansuhkan pada Ogos lalu,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Untuk 2022, UMW Toyota Motor giat membuat persediaan untuk masa depan mobiliti yang memfokuskan kepada kelestarian. Menurut syarikat itu, permintaan untuk kenderaan yang lestari kini semakin meningkat. Di peringkat tempatan, Rancangan Malaysia ke-12 menumpukan usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon menjelang 2050.

Toyota berada di landasan yang betul untuk agenda hijau ini, menerajui teknologi Hibrid Elektrik dengan lebih 18 juta kenderaan terjual setakat ini dan menawarkan 45 kenderaan hibrid elektrik (HEV) di pasaran. Ini termasuk model hibrid pemasangan tempatan pertama UMW Toyota Motor iaitu Toyota Corolla Cross Hybrid yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Previous post

Honda X-ADV Kini Dalam Warna Mat Ballistic Black Metallic

Next post

Sony Serius Mahu Buat Bukan Satu Tetapi Dua Kereta

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.