Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Thailand Hanya Akan Jual Kenderaan Bebas Emisi Bermula 2035

Thailand, bersama dengan Singapura dan Indonesia, sudah jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia dalam penerimaan kenderaan elektrik dek kerana polisi mesra EV dan infrastruktur pengecasan yang baik. Dan kini, jurang antara ini bakal menjadi lebih lebar dengan perancangan EV terbaharu negara itu.

Mengikut jejak langkah Eropah, Thailand mengumumkan yang ia hanya akan menjual kenderaan bebas emisi bermula 2035. Langkah berani ini merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menjadi hab EV di rantau ASEAN.

Bercakap dalam temu bual, Kawin Thangsupanich, penasihat jawatankuasa dasar kebangsaan Kementerian Tenaga berkata, “Kita dapat melihat dunia sedang menuju ke arah itu jadi kita perlu bergerak dengan pantas.”

bmw-i4-edrive40-front-2.0

Tambah beliau, Thailand berpotensi menjadi pusat pengeluaran EV kerana ia sudah mempunyai rantaian bekalan sedia ada.

Di bawah perancangan ini, Thailand turut menetapkan sasaran untuk kenderaan elektrik menyumbang 50% dari jumlah keseluruhan pendaftaran kenderaan baharu menjelang akhir dekad ini, 20% lebih tinggi berbanding sasaran sebelum ini.

Untuk mencapai matlamat ini serta membantu mempercepatkan peralihan, Kawin berkata kerajaan Thailand akan menawarkan insentif cukai, membina infrastruktur berkaitan dan membangunkan regulasi bagi mempromosikan pengilangan kenderaan elektrik. Sudah tentu, pengguna juga akan ditawarkan insentif untuk membeli kenderaan elektrik.

Mercedes-Benz EQE

Sementara itu, Yossapong Laoonual, pengerusi kehormat Persatuan Kenderaan Elektrik Thailand (EVAT) pula berkata tarikh sasaran yang jelas untuk menghentikan jualan kereta dengan enjin pembakaran dalaman dapat membantu menarik pelaburan.

“Jika kita biar penerimaan EV berlaku secara semua jadi, ia akan mengambil masa yang terlalu lama,” kata beliau.

Walaupun mempunyai lebih 1,400 stesen pengecas AC awam dan 771 stesen pengecas DC awam, pasaran kenderaan elektrik Thailand masih lagi kecil. Menurut data EVAT, kenderaan elektrik bateri menyumbang kurang daripada 1% daripada jumlah keseluruhan kenderaan di negara itu.

Bagaimanapun, pasaran berkenaan menunjukkan daya tahan walaupun berdepan pandemik dengan pertumbuhan jualan sebanyak 1.4% pada 2020, kata penganalisi BloombergNEF, Allen Tom Abraham.

Bagi Malaysia, pengecualian penuh duti import, duti eksasi dan cukai jualan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022 dijangka dapat memacu penerimaan kenderaan elektrik. Walau bagaimanapun, ini perlu disokong oleh infrastruktur pengecasan yang kukuh dan juga polisi yang jelas.

Previous post

Tata Punch Compact SUV Dilancarkan Dengan Keselamatan 5 Bintang

Next post

Peugeot 5008 PHEV Menjadi Kenderaan Armada Untuk Gendarmerie Nationale Perancis

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *