Bisnes

Perodua Sasar Jual 247,800 Unit Kenderaan Tahun Ini

Perodua mengumumkan yang ia menjangkakan jumlah jualan kenderaan yang lebih tinggi untuk 2022 iaitu 247,800 unit. Sehubungan dengan itu, syarikat itu turut menjangkakan peningkatan pegangan pasaran kepada 40.6% dari 37.4% tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 610,000 unit untuk 2022, lebih tinggi berbanding apa yang diramalkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 600,000 unit.

Ini berikutan jaminan yang diberikan oleh kerajaan bahawa langkah-langkah yang diambil untuk menyekat penularan COVID-19 menunjukkan kejayaan dan perintah berkurung tidak akan berlaku lagi.

“Untuk tahun ini, kami menjangkakan untuk mengeluarkan sebanyak 265,900 unit kenderaan iaitu 37.5% lebih tinggi berbanding 193,400 unit yang dihasilkan pada 2021,” kata Dato’ Zainal.

Tambah beliau, peningkatan dalam pengeluaran ini akan membawa kepada pertumbuhan dalam pembelian alat ganti automotif sumber tempatan sebanyak 41.5% kepada RM7.5 billion, berbanding RM5.3 bilion yang dicatat pada tahun sebelumnya.

“Pemulihan ini akan membantu industri untuk pulih dengan lebih cepat kerana permintaan terhadap kenderaan masih kukuh,” kata Dato’ Zainal.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran pada tahun lalu, permintaan untuk semua model Perodua masih lagi kukuh. Myvi mendahului dengan 47,525 unit terjual, diikuti Axia dengan 43,080 unit, Bezza dengan 42,968 unit, Ativa dengan 26,847 unit, Aruz dengan 15,313 unit dan Alza dengan 14,828 unit.

Bagi Myvi baharu pula, syarikat itu telah menyerahkan sebanyak 7,055 unit kepada pelanggan sejak ia dilancarkan pada 18 November 2021. Jumlah tempahan pula mencecah 31,154 unit sejak ia dibuka pada 9 November 2021.

Dato’ Zainal menjelaskan bahawa inisiatif pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan masih menjadi insentif yang terbaik buat pengguna untuk membeli kereta baharu mereka.

“Jumlah tempahan kami untuk kenderaan baharu masih sihat dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan dan ini bermakna kami dapat memenuhi tempahan yang tertunggak tepat pada masanya,” katanya.

Previous post

Geely Akan Guna Renault Untuk Bina Kereta Di Korea Selatan Untuk Jual Di Amerika Syarikat

Next post

Kini Anda Boleh 'Convert' Mini Klasik Kepada EV

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *