Undang - Undang

Berhenti Di Lorong Kecemasan: PDRM Panggil Ahli Kelab Kereta

Perbuatan menghentikan kenderaan di lorong tanpa sebab merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang. Mungkin tidak ada seorang pun ahli sebuah kelab pemilik Honda Civic yang terfikirkan perkara ini apabila mereka berkumpul di lorong kecemasan Lebuhraya Temiang-Pantai di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Berikutan tularnya gambar-gambar di media sosial, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil sekumpulan individu dipercaya ahli kelab tersebut untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihaknya berjaya mengesan hantaran melalui Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya berkenaan kira-kira 6.30 petang, Sabtu lepas.

“Untuk permulaan ini kita akan panggil ketua kelab itu dahulu, kita dah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab munasabah seperti yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.”

Tambah beliau lagi, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Mohd Fazley menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Beliau juga berkata yang perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi menyelaraskan tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai bergambar serta menjaja.

“Lebuhraya Temiang-Pantai merupakan lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi terbabit tetapi tindak mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya,” tambah beliau.

Previous post

ISUZU D-MAX Terus Memenangi Anugerah Demi Anugerah Di Malaysia

Next post

RFID: PLUS Minta Maklum Balas Untuk Tingkat Perkhidmatan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *