Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Kilang EV Pertama Malaysia Akan Dibina Di Melaka

Menurut laporan Bernama, sebuah syarikat Bumiputera, Fieldman EV Sdn Bhd akan membuat pelaburan berjumlah RM1 bilion untuk pembangunan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) pertama negara di Melaka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengesahkan bahawa kilang tersebut akan dibina di atas kawasan berkeluasan 200 hektar di Kawasan Perindustrian Elkay Lipat Kajang di Jasin. Tambah beliau, Fieldman EV juga telah mendapat hak eksklusif untuk pengedaran EV jenama Changan Automobile di Malaysia dan juga pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan lain di rantau Asia Tenggara.

Bercakap kepada wartawan, Sulaiman berkata, “Fieldman EV ingin melancarkan EV dan berminat untuk membina kilang pemasangan di Melaka bersama syarikat-syarikat tempatan dengan menggunakan teknologi Changan. Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama ini yang akan memberikan manfaat jangka masa panjang dengan mengukuhkan lagi pembangunan industri automotif di Melaka.”

Sulaiman berkata kilang tersebut juga akan menyediakan 5,000 peluang kerja baharu dan mewujudkan industri hiliran di kalangan industri automotif tempatan. Beliau juga percaya bahawa kilang tersebut akan membolehkan pemindahan teknologi EV yang akan terus menggalakkan pembangunan ekonomi negeri Melaka.

Tidak dinafikan, ini merupakan satu berita baik untuk Malaysia setelah terlepas peluang keemasan dengan Tesla, namun persoalan kami, kenapa Melaka dipilih sebagai lokasi untuk kilang tersebut? Adakah keputusan ini dibuat berdasarkan faktor geografi semata-mata atau ada faktor-faktor lain yang mempengaruhinya?

Selain itu, apakah sebabnya Changan memilih untuk memasuki pasaran EV Malaysia menerusi Fieldman EV? Sudah tentu, ia bukanlah perkara luar biasa bagi syarikat luar untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat tempatan untuk menembusi pasaran sesebuah negara itu, namun ini biasanya dilakukan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai rekod yang baik.

Menurut laman web Fieldman Group, Fieldman EV ditubuhkan pada 2018 sebagai anak syarikat yang “memburu sumber tenaga baharu yang boleh dibawa masuk ke Malaysia.” Pada tahun yang sama, syarikat itu menandatangani perjanjian dengan Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd untuk membekalkan 20,000 teksi elektrik kepada pemandu yang berdaftar di bawah Big Blue menjelang 2020.

Pengasas Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata projek tersebut memerlukan pelaburan sebanyak RM200 juta. Kenderaan tersebut akan dibangunkan khusus supaya sesuai dengan kondisi tempatan dan dua pakar dari China telah dipanggil untuk mengkaji keperluan itu, tambah beliau.

Kemudian, pada awal 2019, Fieldman EV menandatangani perjanjian dengan Changan untuk membawa masuk beberapa model EV ke Malaysia untuk sebuah syarikat e-hailing. Sama ada model-model EV tersebut adalah untuk Big Blue tidak diketahui namun projek itu boleh dikatakan sudah terbengkalai.

Adakah projek pembinaan kilang pemasangan EV ini akan menemui nasib yang sama? Masih terlalu awal untuk membuat andaian namun demi kemajuan industri EV Malaysia, kami berharap yang ia akan berjaya.

Previous post

Berjaya Auto Asia Lancar Kaicene CX70 Di Filipina

Next post

Nissan X-Trail, Serena S-Hybrid Dapat Warna Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *