Bisnes

Jualan Proton Meningkat Untuk Tahun Ketiga Berturut-turut

Walaupun terjejas dengan pandemik sejak 12 bulan lalu, Proton berkata ia berjaya menutup tirai tahun 2021 dengan cemerlang dengan jualan sebanyak 14,147 unit pada Disember. Pencapaian itu menaikkan jumlah jualan keseluruhan tahun lepas kepada 114,708 unit (pasaran tempatan + eksport), jumlah yang tertinggi semenjak 2014.

Tambah pengeluar kereta nasional itu lagi, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5% berbanding dengan 2020 dan adalah penambahan jualan bagi tahun ketiga berturut-turut. Pencapaian ini agak mengujakan kerana Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan telah mengundur sebanyak 4.6% kepada 505,000 unit.

Pegangan pasaran Proton pada bulan Disember dianggarkan pada 20.6% tetapi secara keseluruhan untuk 2021 pegangan pasaran dianggarkan pada 22.7%. Ini adalah penambahan sebanyak 2.0% berbanding 2020, sekaligus mengukuhkan pegangan syarikat pada kedudukan kedua.

Dengan jualan SUV sebanyak 45,149 unit pada tahun lalu, Proton merampas gelaran jenama SUV paling laris di Malaysia dengan sumbangan hampir 40% kepada jumlah keseluruhan jualan.

Secara individu, X50 mengakhiri tahun dengan 28,774 unit, jumlah tertinggi secara keseluruhan segmen
SUV, dan mencapai jumlah jualan bulanan tertingginya pada bulan Disember dengan 4,310 unit. X70 pula mencatat 16,735 unit dengan jualan sebanyak 1,616 unit bagi bulan lepas. Ini membolehkan ia mendahului kelas SUV segmen-C dan menduduki tangga ketiga bagi jualan SUV keseluruhan.

2019-Saga 1

Model terlaris Proton pada 2021 merupakan Saga yang berjaya mendekati pesaing terdekatnya untuk bersama mendahului pasaran sedan segmen-A. 42,627 unit telah dijual termasuk unit yang dihantar sebagai pek CKD ke luar negara.

Jualan Exora untuk Disember pula mencecah 554 unit, sekaligus menyumbang kepada jumlah jualan sebanyak 4,035 unit untuk mendahului kelas MPV segmen-C. Persona dan Iriz juga menunjukkan prestasi yang baik pada bulan lalu dengan jualan 2,187 dan 884 unit setelah masalah bekalan cip semakin pulih.

Proton Iriz Active

Bagi pasaran eksport pula, Proton berjaya 3,108 unit kenderaan sepanjang tahun lalu, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 100%. Dengan penambahan aktiviti pasang siap di luar negara dan kelonggaran sekatan perdagangan, Proton yakin penambahan jualan eksport akan berterusan bagi beberapa tahun lagi.

“2021 agak sukar bagi industri automotif secara keseluruhan dan ini jelas dilihat dalam penurunan TIV. Dari krisis bekalan cip tahap sedunia kepada kenaikkan kes Covid-19 yang menyebabkan PKP dan penambahan kos penghantaran, ada banyak cabaran yang perlu diatasi. Oleh sebab itu, pencapaian Proton menambah jualan tahun lepas amat ketara kerana ia disebabkan perancangan rapi dan penggunaan sumber yang sedia ada,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Previous post

Koenigsegg Tunjuk Teaser Model Baharu Untuk 2022

Next post

Bagaimana Kalau Kereta Sekerap Singapura Digunakan Untuk Pulih Kereta Banjir Malaysia?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *