Motosikal / Lain Lain Roda

Honda X-ADV Kini Dalam Warna Mat Ballistic Black Metallic

Baru sahaja ditambah baik pada Mei tahun lalu, Honda X-ADV kini diperkenalkan dalam satu warna baharu pula. Di samping Pearl Deep Mud Grey dan Grand Prix Red yang sedia ada, skuter kembara itu kini boleh didapati dalam skema warna serba hitam Mat Ballistic Black Metallic untuk tahun 2022.

Bagaimanapun, tiada perubahan daripada sudut mekanikal, bermakna X-ADV masih mempunyai 43 kW (58 hp) pada 6,750 rpm dan 69 Nm pada 4,750 rpm yang dihasilkan oleh enjin sejukan cecair 745 cc, dua silinder sebaris. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan.

Teknologi Throttle-by-Wire membolehkan penunggang memilih karakter enjin yang sesuai menerusi lima mod yang disediakan iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) kini didatangkan dengan tiga tahap intervensi manakala DCT mempunyai penukaran gear automatik yang dihubungkan dengan mod tunggangan.

Untuk sistem infohibur pula, X-ADV dilengkapi dengan Honda Smartphone Voice Control System (HSVCS) yang membolehkan penunggang menyambungkan telefon mereka dan menguruskan panggilan, mesej, muzik dan navigasi. Untuk sistem ini, headset dan Bluetooth diperlukan, namun penunggang juga boleh menggunakan butang kawalan yang terdapat pada sebelah kiri bar hendal.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuklah lampu LED berkembar automatik dengan lampu nyalaan siang, cermin penghadang angin boleh laras, Smart Key dan tongkat tengah dengan sensor condong. Untuk kemudahan pengguna, X-ADV turut mempunyai glovebox berkapasiti 1.2 liter, ruang storan 22 liter di bawah tempat duduk serta port pengecas USB.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan brek cakera pada bahagian hadapan dan belakang, ABS, fork USD 41 mm, lengan ayun Pro-Link dan Emergency Stop Signal (ESS).

Boleh didapati di semua bilik pameran Honda BigWing di seluruh negara, X-ADV 2022 dijual pada harga RM67,799 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) berserta jaminan pengeluar untuk dua tahun atau 20,000 km.

Previous post

Roslan Abdullah Kini Dilantik Sebagai Timbalan CEO Proton

Next post

UMW Toyota Akhiri 2021 Dengan Jualan Sebanyak 72,394 Unit

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *