Promosi / Tawaran / Peraduan

Kerajaan Tawar Baucar Diskaun RM1,000 Untuk Membaiki Atau Menganti Kenderaan Banjir

Kerajaan menawarkan subsidi sehingga RM1,000 untuk pembaikan dan pembelian kereta/motosikal rosak banjir

Setelah beberapa minggu selepas banjir Lembah Klang, kerajaan Malaysia akhirnya menawarkan beberapa bentuk bantuan kepada pemilik kenderaan yang terjejas. Sehingga 31 Mac 2022, mereka yang terjejas boleh menggunakan baucar diskaun automotif RM1,000 ini untuk membaiki kerosakan air pada kenderaan persendirian atau ke arah penggantian kenderaan yang dianggap sebagai rosak habis. Baucar ini dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan potongan terus akan dibuat daripada jumlah kos pembaikan atau daripada kos menggantikan kenderaan baharu melalui invois yang dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar yang sah.

BHPetrol_Euro5 Diesel_2021

Bukan Semua Kenderaan Baharu Layak

19 jenama automotif telah disenarai pendek, dan sesetengahnya dengan berbilang jenama:

  • Perusahaan Otomotif Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA)
  • Perusahaan Otomotif Nasional Sdn. Bhd (PROTON)
  • Tan Chong & Sons (Nissan)
  • UMW Toyota Motor (Toyota)
  • Honda Malaysia (Honda)
  • Mitsubishi Motors Malaysia (Mitsubishi)
  • Volvo Car Malaysia (Volvo)
  • TC Euro Cars (Renault)
  • Mercedes-Benz Malaysia (Mercedes-Benz)
  • BMW Malaysia (BMW)
  • Sime Darby Motor Group (Ford, Hyundai and others)
  • Bermaz (Mazda, Kia, Peugeot)
  • TC Subaru (Subaru)
  • Volkswagen Passenger Cars Malaysia (Volkswagen)
  • Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (Yamaha)
  • Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Honda Motorcycles)
  • Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas)
  • Mofaz Motosikal Sdn. Bhd.(MV Agusta)
  • KMSB Motors Sdn. Bhd (Suzuki Motorcycles)

Perodua segera mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif memandangkan bilangan pemilik yang terjejas, ini akan memberikan kelegaan yang besar. Berikut ialah siaran media Perodua dengan lebih maklumat.

SIARAN MEDIA

Perodua mengalu-alukan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia

Rawang, 10 Jan: Perodua mengalu-alukan inisiatif Baucar Diskaun Automotif oleh kerajaan, yang merupakan sebahagian daripada program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang telah diumumkan baru-baru ini dan menerima baucar tersebut sebagai satu bentuk pembayaran.

“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan mereka dalam membantu mangsa banjir di saat-saat yang diperlukan dan Perodua mengalu-alukan inisiatif baharu ini kerana ia mengukuhkan lagi usaha kami untuk membantu rakyat Malaysia,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

Pada 7 Januari 2022, Kementerian Kewangan telah mengumumkan inisiatif baucar bernilai RM1,000 untuk membantu rakyat Malaysia terutama sekali pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

Baucar diskaun automotif boleh digunakan untuk membuat tuntutan terhadap pembaikan atau penggantian kenderaan persendirian yang rosak akibat banjir.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, tarikh akhir tuntutan Baucar Diskaun Automotif ialah pada 31 Mac 2022, dan pemilik kenderaan boleh menebus segera baucar di pusat-pusat servis sah bagi syarikat-syarikat automotif yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Potongan terus akan dibuat daripada jumlah kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.

“Inisiatif baucar ini, bersama-sama dengan bantuan kewangan lain di bawah program Bantuan Keluarga Malaysia, akan membantu rakyat Malaysia untuk pulih dengan segera,” kata Dato’ Zainal.

Beliau berkata usaha seumpama ini dapat dilihat melalui Program Bantuan Banjir Perodua, yang dilancarkan pada 19 Disember 2021 untuk membantu pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.

“Sehingga 10 Januari 2022, sebanyak 1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke  200 pusat servis Perodua yang terletak di seluruh Malaysia untuk penilaian dan setakat ini 323 unit telah dibaikpulih,” kata Dato’ Zainal.

“Malah, kami telah menyediakan hab pembaikan banjir di Shah Alam untuk membaiki dan memulihkan kenderaan Perodua yang mengalami kerosakan akibat banjir baru-baru ini.”

“Matlamat kami adalah untuk membaiki kenderaan yang rosak akibat banjir secepat mungkin kerana kami memahami bahawa para pelanggan kami benar-benar memerlukan kenderaan Perodua mereka untuk kegunaan harian,” kata Dato’ Zainal.

Program Bantuan Banjir Perodua termasuk diskaun 50% untuk alat ganti standard, upah kerja percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma melalui nombor Perodua Auto Assist (24 jam) di talian 1800-88-5555 Perodua (tertakluk kepada terma dan syarat).

Pelanggan Perodua juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Perodua di talian 1800-88-6600 untuk sebarang pertanyaan am.

Previous post

Changan Bekerjasama Dengan Siapa? Berjaya Auto Atau Fieldman EV?

Next post

Promosi Tahun Baru Untuk Subaru Forester Dan XV

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *