Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Peugeot Akan Jadi Jenama EV Sahaja Di Eropah Menjelang 2030

Satu demi satu pengeluar kenderaan mengambil keputusan untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) sahaja. Terbaru, Peugeot mengumumkan yang ia akan menawarkan EV sahaja di Eropah menjelang 2030. Ini merupakan sebahagian daripada perancangan Stellantis untuk mengurangkan model enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam barisannya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Peugeot, Linda Jackson berkata bahawa model-model ICE akan terus dihasilkan untuk ditawarkan di pasaran-pasaran lain.

Bercakap kepada Automotive News Europe, Jackson berkata, “Apabila kami beralih ke arah platform baharu Stellantis iaitu STLA Small, Medium dan Large, menjelang 2030 di Eropah semua model kami akan menjadi elektrik.”

“Namun, saya harus memastikan penawaran enjin pembakaran dalaman dikekalkan untuk pelanggan-pelanggan antarabangsa,” tambah beliau.

Langkah Peugeot ini selaras dengan sasaran Kesatuan Eropah (EU) untuk memastikan hanya kenderaan emisi sifar dijual di benua itu menjelang 2035. Beberapa pengeluar lain telah pun mengumumkan yang mereka akan menjadi jenama elektrik sepenuhnya di Eropah lebih awal dari tarikh yang diberikan.

Menjelang 2025, Stellantis akan memindahkan semua modelnya ke empat platform berfokuskan EV iaitu STLA Small, Medium, Large dan Frame (trak). Platform-platform ini dibangunkan khusus untuk pacuan elektrik namun masih berupaya menampung trenkuasa pembakaran dalaman untuk pasaran atau segmen di mana peralihan kepada EV masih perlahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares berkata menjelang 2030, syarikat itu mensasarkan untuk mencapai jualan kenderaan emisi rendah (elektrik atau hibrid) sebanyak 70 peratus di Eropah dan 40 peratus di Amerika Syarikat.

Previous post

Volkswagen Tunjuk Lakaran Teaser Amarok 2023

Next post

Setel Share Adalah Perkongsian e-Dompet Pertama Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *