Berita Auto

Millenium Welt Bakal Buka Pusat 4S BMW Di Seremban

Millennium Welt telah memecah tanah bagi bangunan BMW 4S miliknya di Seremban 2 yang dijadualkan siap menjelang suku pertama tahun 2023. Fasiliti bernilai RM60 juta dengan keluasan 153,948 kaki persegi tersebut terletak di bandar satelit Seremban 2 dan akan digubah berdasarkan konsep BMW Retail NEXT yang terkini.

Pusat BMW 4S Seremban 2 akan dilengkapi dengan fasiliti pascajualan yang ekstensif, meliputi 12 ruang produktif, dan 181 lot parkir. Ia juga akan memuatkan jenama-jenama daripada portfolio BMW Group Malaysia, termasuk kenderaan daripada BMW, BMW i, BMW M, BMW Premium Selection, BMW Motorrad, MINI dan MINI Used Car NEXT.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Sebagai wakil pengedaran bertauliah tunggal bagi portfolio BMW Group Malaysia yang meliputi kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad di Negeri Sembilan, Millennium Welt merupakan rakan kongsi yang kami nilai dan hargai, yang juga terus menjulang janji jenama kami untuk membekalkan Pengalaman Pemilikan Premium.

Dengan fasiliti baharu ini, kami yakin bahawa standard ini bukan sahaja akan dijaga, namun turut ditingkatkan tidak lama lagi setelah tirainya dibuka buat para pelanggan di Seremban.”

Bryan Wong, Pengarah Urusan Millenium Welt pula berkata, “Di Millennium Welt, Pengalaman Pemilikan Premium yang dijanjikan bermula sebaik sahaja pelanggan memasuki pusat pengedaran kami. Kami bertekad untuk membantu setiap pelanggan berprospek menemukan jentera BMW, MINI atau BMW Motorrad yang sempurna untuk keperluan mereka.

Dari situ, pengalaman pemilikan yang lancar menanti mereka kerana kami komited untuk menawarkan perkhidmatan pascajualan bertaraf premium. Dengan fasiliti baharu ini, kami ingin mencetus rasa kagum dalam kalangan para pelanggan di Negeri Sembilan ke atas kenderaan bertaraf premium kami,” tambah beliau.

Buat masa ini, pelanggan dan para peminat di kawasan berdekatan boleh mengunjungi bilik pameran yang sedia ada di Jalan Tun Dr Ismail, yang memberi khidmatnya buat para pelanggan di Negeri Sembilan sejak tahun 2013.

Millennium Welt merupakan wakil pengedar bertauliah bagi jenama BMW di Malaysia, dengan empat pusat pengedaran di dalam negara.

Previous post

Kerajaan Selangor Digitalkan Pembayaran Parkir Bermula 2022

Next post

Banjir: GoCar Tawar Diskaun Alat Ganti, Kereta Percuma

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *