Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Lotus Akan Lancarkan Semula Jenama Dengan SUV ‘Type 132’

Sejak pengambilalihan oleh Zhejiang Geely Holding Group empat tahun lalu, Lotus Cars dilihat sibuk menjenamakan semula dirinya sebagai sebuah pengeluar kenderaan elektrik. Kita telah melihat hypercar elektrik iaitu Evija pada 2019, dan kini, syarikat itu bakal memperkenalkan crossover SUV pertamanya pada musim bunga 2022.

Merupakan yang pertama daripada empat model EV baharu yang akan diperkenalkan oleh Lotus dalam tempoh lima tahun akan datang, SUV yang diberikan kod nama Type 132 itu kini sedang dibangunkan di pusat Lotus Tech Innovation Centre (LTIC) baharu yang terletak di bandar Raunheim di Jerman. SUV itu juga dikatakan telah menjalani siri ujian prestasi di litar Nurburgring.

Kemudahan itu mempunyai kira-kira 150 jurutera dari lebih 15 negara dan sesetengah daripada mereka direkrut dari pengeluar-pengeluar kenderaan yang Lotus berhasrat untuk bersaing seperti Porsche, Audi, Ferrari, McLaren, Aston Martin, Mercedes-Benz dan Opel, serta dari syarikat-syarikat pembekal seperti Continental, Hella, Faurecia dan Bosch.

Berbalik kepada Type 132, ia dibangunkan berdasarkan platform EV modular yang dikenali sebagai Evolution dan kemungkinan besar akan ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa motor berkembar pacuan semua roda dengan bateri 100 kWj dan kuasa sehingga 750 hp. Setakat ini, Lotus hanya mendedahkan bayangan SUV itu menerusi sebuah video teaser yang menunjukkan gril dengan penutup aktif, sensor LiDAR di atas bumbung, sayap belakang aktif dan skrin infohibur yang besar.

Evolution merupakan salah satu daripada empat platform yang akan digunakan oleh Lotus membangunkan model-model seterusnya. Tiga platform lagi adalah Extreme, yang digunakan pada Evija, E-Sport untuk kereta sport elektrik, dan Elemental, yang merupakan asas kepada Emira, kereta pembakaran dalaman terakhir Lotus yang menggantikan Elise, Exige dan Evora.

Dengan China disasarkan sebagai pasaran utamanya, Type 132 akan dibina di kilang bernilai USD 1.3 bilion milik syarikat itu yang terletak di bandar Wuhan. Kilang baharu itu terletak di atas kawasan berkeluasan 1 juta meter persegi dan boleh menghasilkan sehingga 150,000 buah kenderaan setahun, 10 kali ganda lebih banyak berbanding kapasiti tahunan kilang Hethel.

Selain fasiliti pengeluaran kereta, kilang tersebut turut menempatkan sebuah litar ujian pintar yang mempunyai teknologi pemanduan autonomi termaju yang boleh mengangkut kenderaan ke woksyop tanpa campur tangan manusia.

Lotus Technology HQ

Type 132 tidak akan menjadi satu-satunya EV Lotus yang dikeluarkan di Wuhan. Sebuah coupe empat pintu iaitu Type 133 dan juga model crossover kedua iaitu Type 134 juga akan dihasilkan di kilang itu. Sementara itu, kereta sport Type 135, yang bakal dilancarkan pada 2026 sebagai kembar kepada model kereta sport keluaran Alpine, akan dipasang di Hethel.

Previous post

Genesis G90 Serba Baharu Didedahkan. Bolehkah Ia Memikat Pembeli S-Class?

Next post

Hyundai Palisade Masuk Pasaran Malaysia Bulan Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *