Berita Auto

Kerajaan Selangor Digitalkan Pembayaran Parkir Bermula 2022

Penggunaan kupon parkir kertas dan pembayaran manual menerusi mesin syiling untuk parkir jalanan di Selangor akan dihentikan pada 31 Disember 2021. Kaedah-kaedah ini akan digantikan dengan sistem pembayaran digital sepenuhnya yang boleh dibuat menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bermula 3 Januari 2022.

Aplikasi itu, yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery, memerlukan pengguna untuk mengisi nombor pendaftaran kereta mereka dan bayar mengikut tempoh parkir.

Mereka yang tidak mempunyai telefon pintar atau pembankan dalam talian bagaimanapun boleh membuat pembayaran dan menambah nilai kredit untuk e-Kupon menerusi ejen-ejen fizikal seperti 7-Eleven, 99 Speedmart dan MyPOSPay yang mempunyai tanda SSP dan ‘e-Kupon dijual di sini’.

Sementara itu, mereka yang masih mempunyai baki kupon parkir kertas tidak perlu risau kerana kerajaan negeri memberikan tempoh sehingga 31 Mac 2022 untuk menghabiskannya.

Sebagai alternatif, pembayaran parkir juga boleh dibuat menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet dan Flexi Parking.

Bercakap kepada pemberita pada Mac lalu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri, Ng Sze Han berkata aplikasi SSP telah diseragamkan dan digunakan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri Selangor.

Beliau juga berkata dengan menggunakan aplikasi itu, kerajaan negeri boleh menjimatkan sehingga 634,994 kg kertas.

Mengambil kira kesusahan untuk mendapatkan petak parkir di kawasan-kawasan komersil tertentu di Selangor, Ng berkata kerajaan negeri akan mewujudkan ‘zon panas’ yang mempunyai had masa maksimum untuk memberikan kemudahan kepada pengguna yang lain.

Previous post

FGV Perkembang Flit Dengan 44 Unit Trak MAN TGS 6X4

Next post

Millenium Welt Bakal Buka Pusat 4S BMW Di Seremban

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *