Bisnes

Jualan Perodua Jatuh 27.1 Peratus Pada November

Berikutan prestasi jualan terbaik dalam sejarahnya pada Oktober lalu di mana sebanyak 27,858 unit kenderaan berjaya diserahkan, jualan Perodua bagi November menyaksikan penurunan mendadak sebanyak 27.1 peratus kepada hanya 20,299 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata kemerosotan ini diakibatkan oleh beberapa gangguan yang telah menjejaskan pengeluaran seperti peningkatan kes Covid-19 dan kekurangan cip semikonduktor.

Bagaimanpun, Dato’ Zainal yakin bahawa Perodua akan menutup tirai tahun 2021 dengan jualan melebihi 200,000 unit. Bagi mencapai sasaran itu, syarikat itu mensasarkan pendaftaran bulanan tertinggi dalam sejarahnya dengan sekurang-kurangnya 30,000 unit pada Disember.

Mengenai Myvi baharu, yang dilancarkan pada 18 November 2021, Dato’ Zainal berkata syarikat itu telah berjaya mengumpul sebanyak 14,600 tempahan setakat 2 Disember 2021.

“November agak perlahan dari segi pendaftaran untuk model Myvi disebabkan terdapatnya jurang penghantaran bagi model itu kerana kami menunggu varian yang terbaharu untuk dilancarkan. Malah, daripada 14,600 unit yang ditempah, 7,189 tempahan telah beralih daripada varian sebelumnya,” jelasnya.

Setakat tahun ini (YTD), Perodua mencatatkan 42,288 unit Myvi antara Januari dan November tahun ini.

Perodua Myvi Facelift

Bagi keseluruhan jualan, Perodua mencatatkan 167,250 unit antara Januari dan November 2021, iaitu pengurangan sebanyak 14.2% berbanding 194,980 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai prospek 2022, Dato’ Zainal berkata Perodua mensasarkan sekurang-kurangnya 240,000 unit jualan iaitu 40,000 unit atau peningkatan sebanyak 20% daripada jangkaan 200,000 unit yang didaftarkan tahun ini. Beliau berkata, angka itu adalah anggaran awal dan ramalan yang lebih tepat akan dikongsikan pada akhir Januari 2022 nanti.

“Berdasarkan maklumat dan ramalan semasa, kami menjangkakan kami boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 240,000 pendaftaran tahun depan memandangkan pasaran kembali stabil dan juga dapat mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami,” kata Dato’ Zainal.

Perodua Ativa

Beliau meramalkan bahawa permintaan untuk kenderaan akan meningkat dalam enam bulan pertama 2022 kerana orang ramai mahu mendapat manfaat daripada insentif pengecualian Cukai Jualan oleh kerajaan manakala separuh kedua akan menyaksikan permintaan semakin perlahan.

“Jumlah pendaftaran 240,000 adalah penting kerana kami mahu mengembangkan ekosistem automotif Malaysia.”

“Dengan pertumbuhan ini, kami menjangkakan pembelian komponen auto akan kembali kepada sekitar RM6.5 bilion untuk tahun depan. Kami akan berkongsi jumlah keseluruhan bahagian komponen yang dibeli untuk tahun ini pada bulan Januari,” tambah beliau.

Previous post

Mengapa VW Polo BAHARU Tidak Akan Datang Ke Malaysia

Next post

Toyota GR Yaris Ini Dikuasakan Oleh Hidrogen

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.