Berita Auto

Hyundai Palisade Rasmi Dilancarkan – Dari RM328,888

Selepas hampir dua minggu ia dibuka untuk tempahan, Hyundai Palisade akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, model yang diimport dari Korea ini ditawarkan dalam konfigurasi tujuh dan lapan tempat duduk, dengan pilihan enjin petrol dan diesel.

Palisade versi petrol dikuasakan oleh enjin 3.8-liter Dual CVVT V6 yang menghasilkan 295 PS pada 6,000 rpm dan 355 Nm pada 5,200 rpm. Sementara itu, varian diesel pula tampil dengan enjin R2.2 CRDi empat silinder dengan kuasa sebanyak 200 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Varian diesel mempunyai sistem pacuan semua roda AWD HTRAC.

Hyundai Palisade

Dibangunkan untuk mereka yang gemarkan pengembaraan, SUV flagship ini menawarkan ruang kargo sebesar 1,297 liter, kerusi kapten pada barisan kedua (varian tujuh tempat duduk sahaja) dan fungsi One-Touch yang berfungsi untuk memudahkan penumpang barisan tempat duduk ketiga keluar dan masuk.

Untuk ketenangan minda, Palisade juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward Collision-Avoidance Assist, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist dan Safe Exit Alert.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk enam beg udara, sistem pendingin hawa automatik tiga zon, Blind Spot View Monitor, Head-up Display dan Smart Power Tailgate.

Palisade boleh didapati dalam lima warna eksklusif iaitu White Cream, Lagoon Silver, Steel Graphite, Moonlight Cloud dan Timeless Black. Untuk ruang dalaman pula, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) menawarkan pakej warna hitam monotone dan navy, dengan opsyen kulit hitam atau kulit Nappa Burgundy atau Warm Grey.

Berikut adalah senarai harga bagi semua varian Palisade:

Diesel

  • Exec 7 – RM348,888
  • Exec 8 – RM328,888

Petrol

  • Luxe 7 – RM358,888
  • Luxe 8 – RM338,888

Semua varian didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 50,000 km. Dengan bayaran tambahan sebanyak RM11,000 untuk varian petrol dan RM12,000 untuk varian diesel, pelanggan akan mendapat jaminan selama lima tahun atau 300,000 km serta pakej servis percuma untuk tiga tahun atau 50,000 km.

Previous post

Mercedes-Benz S-Class W223 Tiba Di Malaysia

Next post

Honda CBR250RR Kini Dalam Edisi Trico - RM25,999

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *