Berita Auto

SUV Kompak China, GAC GS3 Dilancarkan Di Malaysia

Pencabar terbaharu dalam segmen SUV kompak iaitu GAC GS3 kini telah tiba di Malaysia. Model yang diimport sepenuhnya itu menandakan bermulanya pengenalan jenama GAC di Malaysia oleh WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) selaku pengedar rasminya.

WCTA kini bekerjasama rapat dengan GAC International untuk memulakan program pemasangan tempatan GS3 dan model-model baharu GAC pada masa depan.

Dari segi penampilan, GS3 menarik perhatian menerusi bahasa rekaan Flying Dynamic Wing 3.0 pada bahagian hadapan yang merangkumi reka bentuk gril menyerlah bersama kemasan krom yang disambungkan dengan lampu utama jenis projektor dan kemasan bahagian bawah bampar yang disambungkan dengan lampu kabus.

Tiang D dihitamkan untuk memberikan efek bumbung terapung manakala garis bumbungnya yang mendatar diteruskan ke spoiler belakang yang disepadukan bersama lampu brek ketiga. Di belakang, terdapat sepasang lampu belakang LED yang nipis.

Di dalam, susun atur ruang kabin mengikut tema yang sama dengan rekaan papan pemuka melintang terapung, skrin sentuh infohibur bersaiz 8 inci dan suis kawalan suhu pada bahagian bawah papan pemuka. Turut disertakan adalah stereng tiga jejari pelbagai fungsi yang dibalut kulit dan pelbagai butang kawalan untuk sistem multimedia dan panggilan telefon.

Dari segi keselasaan, GS3 menawarkan tidak kurang 25 ruang penyimpanan barang dan ruang kargo sebesar 356 liter yang boleh diperluaska lagi dengan melipat tempat duduk belakang berkonfigurasi 60:40.

GS3 dikuasakan enjin 1.5 liter Dual-CVVT dan teknologi kawalan pembakaran dalaman yang dipatenkan oleh GAC.. Enjin empat silinder yang mampu menjana 114 PS dan 150 Nm itu dipadankan dengan kotak gear Aisin enam kelajuan bersama kawalan adaptif pintar untuk memberikan penjimatan bahan api 6.9 liter bagi setiap 100 km atau 14.5 km/l berdasarkan kitaran NEDC.

Sistem keselamatan enam beg udara, Pengesan Titik Buta, Kawalan Kestabilan Elektronik, Isyarat Berhenti Kecemasan, Kamera Undur, Amaran Tali Pinggang Keledar untuk semua penumpang, cagak ISOFIX bagi kerusi kanak-kanak serta Sistem Kawalan Suhu bersama penapis PM2.5.

GS3 ditawarkan dalam dua varian bersama empat pilihan warna menarik iaitu Lunar Grey, Ivory White, Starlight Silver dan Rosefinch Red. Harga atas jalan tanpa insurans bermula dari RM88,800 untuk varian Standard dan RM96,800 bagi varian Premium, selepas pengecualian cukai.

Previous post

Lotus Elise, Exige Dan Evora Kini Berhenti Produksi Secara Rasmi

Next post

Honda Malaysia Lancar Barisan Minyak Enjin SP Grade

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *