Hibrid, Elektrik, Hidrogen

eRockit Adalah Motosikal Elektrik Dengan Pedal Basikal

eRockit AG merupakan sebuah syarikat e-mobiliti dari Jerman yang menghasilkan motosikal elektrik. Gelaran ‘motosikal’ mungkin kurang tepat kerana tidak seperti motosikal dan skuter elektrik lain yang kita telah lihat setakat ini, eRockit (nama produk syarikat itu) dilengkapi dengan pedal basikal.

Seperti mana-mana kenderaan elektrik, eRockit beroperasi tanpa membebaskan sebarang gas beracun namun penunggang perlu menggunakan sedikit kuasa otot untuk menggerakkannya. Menurut syarikat itu, penunggang akan merasai “pecutan menakjubkan sambil mengayuh dengan sedikit usaha.”

Prestasi pecutan 0 hingga 100 km/j tidak dinyatakan namun syarikat itu mendakwa eRockit mampu mencapai kelajuan maksimum 90 km/j – boleh tahan juga untuk sebuah kenderaan kecil yang dibangunkan sebagai salah satu penyelesaian kepada masalah mobiliti urban global.

Walaupun pedalnya perlu digerakkan untuk mula berjalan, kuasa untuk eRockit sebenarnya dibekalkan oleh sebuah motor jenis ‘brushless permanent magnet synchronous’ yang mampu menjana kuasa sehingga 16 kW (22 hp). Trenkuasa unik ini bebas klac, jadi kos penyelenggaraannya sangat rendah manakala jangka hayatnya dikatakan tinggi.

Dari segi jarak tunggangan, sebuah bateri berkapasi 6.6 kWh menawarkan jarak sejauh 120 km dengan satu cas penuh. Bercakap tentang pengecasan, syarikat itu berkata pek bateri tersebut boleh dicas menerusi soket plug biasa namun ia tidak menyatakan berapa lama masa yang perlu diambil untuk pengecasan dari kosong hingga penuh.

eRockit mungkin tampak seperti motosikal elektrik ‘kosong’ yang dihasilkan untuk menggalakkan pemilikan EV di kalangan golongan urban namun ia sebenarnya tidak murah. Di Eropah, di mana ia dikelaskan sebagai motosikal ringan (L3e) yang memerlukan lesen kelas A, A1 atau A2, eRockit dijual pada harga 11,850 euro (kira-kira RM56,275).

Agak mahal untuk sebuah motosikal berpedal, bukan? Melainkan anda betul-betul ingin merasai pemilikan EV, kami rasakan terdapat banyak lagi pilihan di luar sana yang dijamin mampu membuatkan anda tersenyum setiap kali enjinnya dihidupkan.

Previous post

Didi Resources Buka Pusat 3S Vespa Di Kota Kinabalu

Next post

Jualan Kereta Untuk Bulan November 2021 Menurun Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *