Motosikal / Lain Lain Roda

Yamaha MT-09 Baharu Kini Di Malaysia – RM54,998

Seperti yang dijanjikan ketika pelancaran TMAX 560 pada bulan lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akhirnya melancarkan Yamaha MT-09 versi baharu untuk pasaran Malaysia.

Dari segi reka bentuk, MT-09 kini tampil dengan lampu LED tunggal seperti ‘cyclops’ yang diapit oleh sepasang lampu nyalaan siang, menggantikan lampu berkembar pada model sebelum ini. Sementara itu, lampu LED belakang pula menampilkan grafik ‘Y’ yang menarik.

MT-09 masih dikuasakan oleh enjin Crossplane tiga silinder dengan teknologi penyejukan cecair, namun sesarannya telah dipertingkatkan dari 847 cc kepada 889 cc. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, enjin ini menjana 119 PS pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm, menunjukkan peningkatan sebanyak 4 PS dan 5.5 Nm berbanding sebelum ini.

Bukan itu sahaja, jentera ini juga mempunyai rangka aluminium Deltabox yang lebih ringan sebanyak 2.3 kg. Ia digandingkan dengan fork 41 mm boleh laras dan suspensi monoshock belakang dengan linkage yang direka semula. Bukan itu sahaja, rim yang digunakan juga 700 g lebih ringan berbanding rim sebelum ini.

Dari segi teknologi pula, MT-09 dilengkapi dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi yang merangkumi tiga ciri bantuan penunggang iaitu Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS) dan Front-Wheel Lift Control System (LIF).

Turut disertakan adalah paparan TFT berukuran 3.5 inci yang mempunyai tachometer jenis bar yang berubah warna apabila RPM naik atau turun, serta paparan multifungsi. Paparan ini boleh diubah menerusi suis yang terletak pada bahagian kiri bar hendal.

Yamaha MT-09 baharu dijual pada harga RM54,998 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran). 300 pemilik pertama akan mendapat kantung kunci Royal Selangor, manakala setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera brek secara percuma.

Ia boleh didapati menerusi cawangan pengedar Yamaha Big Bike di seluruh negara bermula hari ini (11 November 2021) dalam dua pilihan warna iaitu Ice Blue dan Storm Fluo.

Previous post

Mercedes-Benz Panggil Semula Model Keluaran 2004-2016

Next post

Perbaharui Insurans Kereta Tanpa Faedah Secara Dalam Talian Di Dreamshop

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *