Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Trak Tugas Berat MAN TGS Masuk Pasaran Malaysia

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd telah melancarkan rangkaian trak tugas berat generasi baharu untuk pasaran Malaysia. Trak yang dikenali sebagai TGS ini didatangkan standard dengan enjin Euro 5, menjadikan MAN Malaysia sebagai pengeluar trak tugas berat pertama di negara ini yang berbuat demikian.

Dengan pelancaran ini, MAN memenuhkan tanggungjawabnya dalam membantu mengurangkan jejak karbon industri pengangkutan dan logistik. Pelancaran ini juga tepat pada masanya berikutan langkah kerajaan Malaysia mengumumkan hasratnya untuk mencapai status neutral karbon menjelang 2050.

Enjin Euro 5 mengurangkan pelepasan gas nitrogen oksida (NOx) melalui penggunaan diesel Euro 5 sulfur rendah dan cecair rawatan ekzos AdBlue.

Trak tugas berat TGS ditawarkan dalam lima varian yang dikhususkan untuk tiga aplikasi utama :

  • 4X2 dan 6X2 untuk pengangkutan/kontena
  • 6X4 untuk pembinaan dan kegunaan tugas berat
  • 4X2 dan 6X2 dengan spesifikasi ADR (Perjanjian Berkaitan Pengangkutan Barangan Bahaya melalui Jalan Raya)

Harga bermula dari RM340,000 untuk spesifikasi standard, tidak termasuk SST.

MAN TGS baharu didatangkan dengan dua pilihan enjin. Varian 4X2 dan 6X2 untuk pengangkutan dan spesifikasi ADR dikuasakan oleh enjin diesel D20 10.5 liter, enam silinder sebaris. Sementara itu, varian 6X4 pula mempunyai enjin D26 12.4 liter. Kedua-dua enjin dilengkapi dengan teknologi Selective Catalytic Reduction (SCR) yang mengurangkan pelepasan gas berbahaya.

Bukan itu sahaja, kedua-dua enjin tersebut juga digandingkan dengan transmisi pintar TipMatic 12 kelajuan dengan perisian canggih dan program pemanduan yang boleh dipilih untuk aplikasi yang berbeza.

Untuk kemudahan pemandu, trak TGS untuk pasaran Malaysia didatangkan dengan ciri MAN EasyControl dan SmartSelect. MAN EasyControl terdiri daripada empat butang, dua daripadanya boleh disesuaikan untuk berbagai fungsi yang boleh dikendalikan oleh pemandu semasa berada di luar trak.

MAN SmartSelect pula merupakan kawalan sistem infohibur dua peringkat yang disertakan dengan sandaran lengan boleh lipat untuk menjadikan operasi lebih mudah dan tepat walaupun terdapat getaran di dalam kabin semasa trak bergerak.

Satu lagi ciri menarik adalah stereng pelbagai fungsi yang lebih kecil berbanding stereng trak-trak MAN generasi sebelumnya. Ia boleh dilaraskan dari sudut 20° kepada 55° hampir seperti kereta penumpang, menawarkan posisi stereng yang ideal untuk pemandu dengan bentuk badan yang berbeza.

Selain itu, ia juga boleh dilaraskan ke hadapan kepada kedudukan parkir 0° bagi memudahkan pemandu masuk dan keluar dari kabin.

Untuk sistem elektronik pula, MAN Telematics mampu mengurangkan ketidakcekapan operasi dan kos sambil memastikan trak beroperasi pada tahap maksimum. Setiap pembelian trak MAN TGS didatangkan dengan langganan percuma selama dua tahun.

Turut disertakan adalah sistem keselamatan dan bantuan pemandu seperti berikut:

  • Sistem Amaran Berlepas Lorong (LDW)
  • Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC)
  • Program Kestabilan Elektronik
  • Bantuan Brek Kecemasan (EBA)
Previous post

Volvo XC60 Facelift Tiba Di Malaysia - Harga Dari RM292,466

Next post

Petronas Melancarkan Generasi Kedua Bendalir Kenderaan Eletrik (EV)

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *