Berita Auto

Porsche 911 GT3 Kini Di Malaysia – Harga Dari RM1.8 Juta

Sime Darby Auto Performance (SDAP) akhirnya melancarkan Porsche 911 GT3 generasi 992 untuk pasaran Malaysia, sembilan bulan selepas ia dibuka untuk pra-tempahan. Ia dijual pada harga bermula dari RM1,766,244 selepas pengecualian cukai jualan dan yang menariknya, pelanggan boleh mendapatkan pakej Touring tanpa sebarang kos tambahan.

Kini memasuki generasi ketujuh, 911 GT3 dipacu oleh enjin naturally aspirated enam silinder bersesaran 4.0-liter yang menghasilkan 510 PS dan 470 Nm. Diambil daripada kereta lumba 911 GT3 Cup, enjin tersebut boleh dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar PDK tujuh kelajuan.

Jika dilengkapi dengan PDK, jentera ini mampu melakukan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j, sekaligus menjadikan ia lebih pantas berbanding 911 GT3 RS yang terdahulu.

Sebagai kereta GT yang boleh dipandu di atas jalan raya, 911 GT3 dilengkapi dengan pelbagai elemen perlumbaan. Ini termasuk sistem suspensi double-wishbone pada bahagian hadapan yang diambil dari 911 RSR. Spoiler ‘leher angsa’ dan diffuser juga dari jentera itu, membolehkan janaan downforce 50 peratus lebih tinggi. Kedua-dua komponen ini boleh dilaras untuk meningkatkan downforce sehingga 150 peratus.

Walaupun mempunyai badan yang lebih lebar, rim yang lebih besar serta pelbagai ciri teknikal dan keselamatan tambahan, berat 911 GT3 tidak jauh berbeza dengan versi sebelum ini iaitu 1,418 kg untuk manual dan 1,435 kg untuk PDK. Ini kerana ia menggunakan plastik gentian karbon (CFRP), kaca ringan dan bateri lebih kecil. Rim dan sistem ekzos sport turut menyumbang dengan pengurangan berat melebihi 10 kg.

Pakej Touring mempunyai penampilan yang lebih sederhana namun prestasinya setara dengan versi standard. Ia didatangkan standard dengan transmisi manual, manakala spoiler gergasinya digantikan dengan spoiler lebih kecil. Turut disertakan dalam pakej ini adalah kemasan perak dan logo ‘GT3 Touring’ pada bahagian belakang.

Bukan itu sahaja, pakej ini juga boleh dipadankan dengan hampir semua kelengkapan yang ditawarkan pada 911 GT3. Antaranya adalah lampu LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), Porsche Ceramic Composite Brakes (PCCB), sistem lift gandar hadapan, pakej Chrono dan pelbagai lagi.

Ruang dalaman menampilkan rekaan kokpit yang sama dengan model generasi 992, namun 911 GT3 mempunyai instrumen kluster spesifik yang menampilkan rev counter tengah dan dua paparan berukuran tujuh inci dengan skrin litar.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan skrin sentuh 10.9 inci yang menampilkan Porsche Communication Management (PCM) terkini dan Porsche Connect Plus yang menyokong aplikasi Porsche Track Precision App yang menyediakan data pemanduan dan analisa video.

Atas permintaan yang tinggi untuk kelengkapan custom di kalangan pemilik model Porsche GT, rangkaian Porsche Exclusive Manufaktur telah dikemas kini dengan pilihan-pilihan spesifik GT3 seperti bumbung dan cermin sisi gentian karbon, lampu LED Matrix dan lampu belakang Exclusive, pilihan warna Guards Red atau Shark Blue untuk rim, jam Sport Chrono serta pelbagai pilihan warna untuk tali pinggang keledar dan trim.

Untuk penampilan lebih eksklusif, Porshe turut menawarkan program ‘Paint to Sample’ di mana pelanggan mempunyai 105 warna luaran untuk dipilih.

Previous post

Rakyat Malaysia Suka Dengan Rupa Dinamik Dan Keserbagunaan Mitsubishi XPANDER

Next post

Harga Suzuki Jimny Mahal Gila Tetapi Sold Out

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *