Cerita Auto

Peugeot 3008, 5008 Facelift Masuk Pasaran Malaysia

Peugeot 3008 dan 5008 versi baharu telah dilancarkan secara rasmi oleh Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd selaku pengedar baharu jenama itu.

Kedua-dua model SUV ini tampil dengan rekaan yang lebih segar dengan gril tanpa bingkai pada bahagian hadapan, skup sisi berwarna hitam berkilat dan monogram model pada bahagian bonet.

Lampu hadapan direka semula dengan teknologi LED dan lampu membelok, begitu juga dengan lampu belakang yang tampil lebih bergaya dengan teknologi LED dengan efek cakaran 3D.

Ciri-ciri luaran yang lain adalah seperti berikut:

  • Rim Los Angeles 18 inci pada 3008
  • Rim Detroit 18 inci pada 5008
  • Power Tailgate bebas tangan
  • Bumbung suria panoramik
  • Advanced Keyless Entry
  • Sensor parkir hadapan dan belakang

Untuk ruang dalaman, perbezaan antara dua model ini adalah kapasiti tempat duduk. 3008 menampilkan konfigurasi lima tempat duduk manakala 5008 pula mempunyai tujuh tempat duduk dengan susun atur modular.

Kedua-duanya dilengkapi dengan teknologi i-Cockpit digital Peugeot yang merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci, stereng kompak dan skrin sentuh HD berukuran 10 inci. Turut disertakan adalah tujuh suis ala kunci piano untuk kawalan audio, pendingin hawa, navigasi, tetapan kenderaan, telefon, aplikasi mudah alih dan lampu kecemasan.

Selain itu, Apple CarPlay dan Android Auto disertakan secara standard dan pada konsol tengah, terdapat pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Ciri-ciri dalaman yang lain adalah seperti berikut:

  • Lampu ambien
  • Pedal penukar gear
  • Sistem pendingin hawa dua zon (dengan kawalan corong udara pada 5008)
  • Upholsteri kulit
  • Brek parkir elektronik
  • Pelarasan kuasa enam hala pada tempat duduk
  • Pemilih mod pemanduan (mod Sport)

3008 dan 5008 dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan terkini yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Visiopark 1 dengan kamera undur 180 darjah
  • Active Lane Keeping Assist
  • Driver Attention Warning
  • Speed Limit Recognition
  • Blind Spot Monitoring
  • Advanced Grip Control dengan lima mod (Normal, Snow, Mud, Sand dan ESP Off)
  • Hill Assist Descent Control
  • Enam beg udara, ABS, ESP, EBD, EBA, DSC, ASR dan Hill Start Assist
Peugeot 3008, 5008

Kuasa dibekalkan oleh enjin 1.6 Turbo High Pressure (THP) yang menghasilkan 165 hp dan 240 Nm. Enjin petrol empat silinder itu digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan.

Kedua-dua model ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pengeluaran Stellantis di Gurun, Kedah. Warna-warna yang ditawarkan adalah Amazonite Grey, Pearl White dan Nera Black, di samping warna eksklusif Cuprite Brown untuk 3008 dan Emerald Crystal untuk 5008.

Harga jualan bermula dari RM161,616.66 untuk 3008 dan RM177,311.90 untuk 5008 (termasuk pengecualian cukai jualan). Kedua-duanya didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau 100,000 km serta pakej servis percuma untuk tiga tahun atau 60,000 km.

Previous post

Perodua Catat Jualan Bulanan Tertinggi Pada Oktober 2020

Next post

Maserati Ghibli Hybrid Tiba Di Malaysia - Dari RM427,800

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *