Berita Auto

Mitsubishi Buka Pusat 3S Baharu Di Kota Damansara

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bersama dengan Millennium Autohaus Sdn Bhd merasmikan pelancaran pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) Mitsubishi Motors di Kota Damansara baru-baru ini. Dengan pembukaan outlet ini, MMM kini mempunyai 15 cawangan pengedar di Lembah Klang.

Pusat 3S baharu tersebut beralamat di No. 2A-E, Jalan Teknologi 3/1, Pusat Teknologi Sunsuria, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor. Ia boleh diakses dengan mudah menerusi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Terletak di atas kawasan berkeluasan 12,370 kaki persegi, outlet tersebut menampilkan identiti jenama terkini Mitsubishi Motors dengan slogan ‘Drive Your Ambition’. Selain ruang rehat untuk pelanggan yang lengkap dengan WiFi, ia juga menempatkan sebuah bilik pameran yang boleh memuatkan sehingga tiga buah kenderaan pada satu-satu masa dan pusat servis dengan lima ruang selenggara.

“Tahniah diucapkan kepada Millenium Autohaus untuk pembukaan bilik pameran Mitsubishi Motors di Lembah Klang. Dengan penyambungan operasi perniagaan di seluruh negara, Mitsubishi Motors memberikan penekanan untuk meningkatkan rangkaian kami seperti membuka lebih banyak cawangan dan menaik taraf fasiliti, serta memajukan platform kami secara digital untuk memberikan pengalaman membeli-belah terbaik kepada pelanggan,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Pada masa yang sama, Ikeda turut mengumumkan yang MMM telah merekodkan jualan sebanyak 2,041 unit bagi bulan Oktober. Beliau berkata syarikat menghargai usaha kerajaan untuk melanjutkan tempoh pengecualian cukai sehingga Jun 2022. Langkah itu akan memberikan penjimatan tambahan kepada pelanggan dan membantu meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor automotif.

Previous post

Toyota Aygo X - Dari Hatchback Ke Crossover

Next post

Kadar Kematian Memandu Mabuk Di Malaysia Antara Yang Terendah Menurut WHO

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *