Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Maserati Ghibli Hybrid Tiba Di Malaysia – Dari RM427,800

Maserati Ghibli Hybrid baharu, yang membuat penampilan sulungnya pada Julai tahun lalu, kini telah dilancarkan di Malaysia oleh pengimport dan pengedar rasmi jenama itu, Naza Italia. Ia akan ditawarkan dalam dua varian iaitu asas dan GranSport, dengan harga masing-masing bermula dari RM427,800 dan RM456,800.

Harga-harga yang dinyatakan adalah sebelum duti dan cukai. Bagaimanapun, ia termasuk jaminan selama tiga tahun tanpa had perbatuan dan pakej penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 60,000 km, mana-mana tiba dahulu.

Varian ini tidak dikuasakan oleh enjin twin-turbo V6. Sebaliknya, ia tampil dengan enjin petrol turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan alternator 48 volt dan supercharger elektrik e-Booster yang disokong oleh sebuah bateri yang diletakkan di bahagian belakang untuk mendapatkan pengagihan berat yang seimbang.

Tenaga dipulihkan dan ditukarkan menjadi elektrik semasa nyahpecutan dan brek, seterusnya disimpan di dalam bateri untuk digunakan apabila perlu. Walaupun dengan komponen-komponen tambahan ini, Ghibli Hybrid dikatakan 80 kg lebih ringan berbanding versi diesel V6.

Dengan kuasa keseluruhan berjumlah 330 hp dan 450 Nm yang tersedia seawal 2,250 rpm dan juga transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, Ghibli Hybrid boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 255 km/j.

Dari segi penampilan, Ghibli Hybrid boleh dibezakan menerusi kemasan biru pada lubang udara sisi, angkup brek dan logo Trident pada tiang belakang. Warna biru yang sama turut digunakan untuk jahitan pada tempat duduk.

Ghibli Hybrid GranSport hadir dengan ciri-ciri tambahan seperti kemasan hitam piano pada gril, pakej Nerissimo dan rim 20 inci. Ruang dalaman pula menampilkan upholsteri kulit asli Pieno Fiore, sulaman logo Trident pada perehat kepala, trim karbon pada papan pemuka dan pelapik bumbung Alcantara.

Previous post

Peugeot 3008, 5008 Facelift Masuk Pasaran Malaysia

Next post

Berita Baik Untuk Pemilik Toyota AE86

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *