Berita Auto

Hyundai Kona Electric Rasmi Dilancarkan – Harga Dari RM150k

Selepas membawa masuk Hyundai Kona facelift beberapa bulan yang lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kini melancarkan pula versi elektrik yang dikenali secara rasmi sebagai Kona Electric.

Model ini ditawarkan dalam tiga varian seperti berikut:

  • Kona Electric Lite – RM149,888
  • Kona Electric Plus – RM169,888
  • Kona Electric Max – RM199,888
Hyundai Kona Electric

Varian Lite dan Plus dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion berkapasiti 39.2 kWj yang memberikannya jarak pemanduan sejauh 305 km, manakala Max sebagai varian tertinggi mempunyai bateri berkapasiti 64 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 484 km. Angka-angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP.

Untuk pengecasan biasa (AC), varian Lite yang menggunakan pengecas on-board (OBC) 7.2 kW memerlukan kira-kira 6.5 jam untuk mengecaj baterinya, manakala varian Plus dan Max yang dilengkapi dengan OBC 11 kW masing-masing mengambil masa kira-kira 4.5 dan 7.5 jam.

Sementara itu, pengecasan menerusi pengecas pantas (DC) berkapasiti 50 kW pula hanya mengambil masa 60 minit untuk Lite dan 30 minit untuk Plus dan Max.

Ketiga-tiga varian Kona Electric menampilkan gabungan motor elektrik tunggal dan transmisi satu kelajuan (Single Speed Reduction Gear) yang menghasilkan 136 PS bagi varian Lite dan Plus, dan 204 PS bagi Max. Jumlah tork yang dibekalkan adalah sama iaitu 395 Nm. Terdapat empat mod pemanduan yang disediakan iaitu Eco+, Eco, Normal dan Sport.

Dari segi prestasi, varian Lite dan Plus boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 155 km/j. Varian Max pula hanya memerlukan 7.9 saat untuk melakukan pecutan tersebut dan ia boleh memecut sehingga 167 km/j.

Dari aspek penampilan, Kona Electric tidak jauh berbeza dengan versi petrol, kecuali ia tidak mempunyai gril tetapi mempunyai penutup port pengecas pada sebelah kiri bampar hadapan. Satu lagi perbezaan adalah ia menggunakan sistem suspensi jenis multilink pada bahagian belakang, berbeza dengan Kona biasa yang dilengkapi torsion beam.

Masuk ke dalam, anda akan mendapati susun atur kabin yang hampir sama dengan versi petrol. Bagaimanapun, tuil gear pada konsol tengah telah digantikan dengan butang P,R,N dan D. Selain itu, upholsterinya didatangkan dalam warna kelabu cerah, namun HSDM masih menawarkan pilihan warna hitam.

Setiap varian diberikan sistem infohibur yang terdiri daripada skrin tengah berukuran lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen digital 10.25 inci dan enam pembesar suara.

Sistem keselamatan pula menampilkan sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri-ciri seperti Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, High Beam Assist, Driver Attention Warning dan Rear Occupant Alert.

Varian Plus dan Max mendapat beberapa ciri tambahan iaitu Blind-spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go dan Safe Exit Alert. Ciri Forward Collision-Avoidance Assist pada varian Lite boleh mengesan kenderaan dan pejalan kaki, manakala pada varian Plus dan Max ia boleh mengesan satu lagi objek iaitu penunggang basikal.

Previous post

Scania Sambut 10 Tahun Pertamanya Di Ipoh

Next post

BMW 218i Gran Coupe Dapat Sistem Live Cockpit Professional

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *