Berita Auto

Geely Binyue ePro – Bakal Jadi Proton X50 PHEV?

Pada penghujung Julai lalu, Geely memperkenalkan Binyue Pro facelift untuk pasaran China. Kini, tiga bulan selepas model itu didedahkan, syarikat itu memperkenalkan pula varian hibrid plug-in (PHEV) yang dikenali sebagai Binyue ePro.

Seperti versi petrol, Binyue ePro dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo tiga silinder yang turut dikongsikan dengan Proton X50. Namun untuk model ini enjin tersebut digandingkan dengan sebuah motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 255 hp dan 415 Nm.

Dilengkapi dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, crossover ini dikatakan mampu memberikan bacaan tahap penggunaan bahan api serendah 1.2 liter/100 km atau 83 km bagi setiap liter. Bukan itu sahaja, ia juga boleh dipandu sejauh sehingga 85 km dengan hanya kuasa elektrik. Ia didatangkan dengan sistem pengecas berkapasiti 6.6 kW.

Dari segi reka bentuk, Binyue ePro kelihatan tidak ubah seperti versi Pro kecuali ia mempunyai lencana ‘PHEV’ pada bahagian belakang. Selain itu, ia ditawarkan dengan beberapa warna baharu seperti Storm Blue, Hot Flame Red dan Lightning White, skema warna dua tona, kemasan hitam dan juga rim aloi 18 inci.

Seperti sebelum ini, casisnya dipadankan dengan topang MacPherson bebas di hadapan dan suspensi torsion beam semi-bebas di belakang. Sistem stereng yang digunakan adalah stereng kuasa elektrik (EPS) dengan bantuan kelajuan dan pelarasan ketinggian dan teleskopik.

Ruang dalaman pula menampilkan animasi unik pada kluster instrumen digital tujuh inci namun selain itu, ia kelihatan sama sahaja dengan model petrol. Antara kelengkapan yang ada termasuklah skrin sentuh 12.3 inci dengan sistem infohibur GKUI, kamera 540 darjah, pelarasan enam hala pada tempat duduk pemandu, sistem penapisan udara PM2.5 dengan penjana ion negatif dan upholsteri campuran kulit dan fabrik.

Turut disertakan adalah sistem bantuan pemandu seperti Intelligent Pilot System, Pre-Collision System, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, Intelligent High Beam Control, Speed Limit Reminder dan Traffic Congestion Assist.

Untuk pasaran China, Binyue ePro dijual pada harga bermula dari 119,800 yuan (RM78,415) untuk varian Star Edition dan 135,800 yuan (RM88,888) untuk Glory Version.

Mungkinkah model ini akan dibawa masuk ke Malaysia sebagai Proton X50 PHEV? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Previous post

Perodua Myvi Facelift 2022 Hadir Dengan PDSA, Dwi-Mod CVT

Next post

Skuter Elektrik Scorpio X1 Dibuka Untuk Tempahan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *